Dituduh curi motosikal, remaja dikurung dua hari, diseksa hingga maut

SEORANG remaja lelaki berusia 18 tahun dipercayai dikurung selama dua hari, dipukul dan diseksa sebelum meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, hanya kerana dituduh mencuri motosikal.

Lebih menyedihkan, mangsa turut digunting rambutnya sebelum mayatnya dibuang di tepi jalan berhampiran Jalan Harvard, Gurun, Sungai Petani dan ditemukan orang awam pada pagi Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan hentakan di kepala menggunakan objek tumpul.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan seorang suspek utama berusia 24 tahun selepas menerima aduan penduduk yang mendakwa mangsa mencuri motosikal.

“Siasatan mendapati mangsa ditangkap oleh suspek pada 5 Oktober lalu di Pendang sebelum dibawa ke sebuah rumah di Gurun dan dikurung selama dua hari,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar hari ini, lapor Harian Metro.

Adzli berkata, selama dua hari itulah mangsa dipukul dan diseksa serta rambutnya dipotong hinggalah akhirnya pada malam 7 Oktober mangsa didapati sudah meninggal dunia.

“Mereka juga tergamak membuang mayat mangsa di tepi jalan esoknya, sebelum ditemukan orang awam pada jam 8 pagi,” katanya.

Susulan kejadian itu, polis menahan 14 lelaki berusia antara 16 hingga 24 tahun di sekitar Gurun dan Guar Chempedak antara jam 12 tengah hari hingga 10.30 malam pada hari kejadian.

Polis turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta Honda City berwarna perak, gunting serta MyKad yang dipercayai milik mangsa.

Menurut Adzli, hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Seramai 12 suspek direman selama enam hari sehingga Rabu ini, manakala dua lagi suspek bawah umur direman selama lima hari sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati tiada laporan berkaitan motosikal didakwa dicuri mangsa. Mungkin sudah dipulangkan balik, walaupun mangsa dituduh mencuri, ia tidak bermakna tindakan boleh diambil sesuka hati,” katanya.

Sehubungan itu, Adzli menasihatkan orang ramai supaya membuat laporan polis sekiranya berlaku kes kecurian atau rompakan dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.

Katanya, orang awam boleh menahan individu yang disyaki melakukan kesalahan dalam batas tertentu, namun tindakan mengurung seseorang selama dua hari serta memukulnya sehingga meninggal dunia sama sekali tidak boleh dibenarkan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Adzli berkata, polis berjaya menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh empat jam dengan penahanan 14 suspek.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditemukan terbaring di tepi semak dengan kecederaan pada muka dan kepala, dipercayai mangsa bunuh.

Mangsa, Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 18, ditemukan orang awam pada kira-kira jam 8 pagi Khamis lalu dengan memakai pakaian sukan berwarna hitam dan kuning.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here