SEORANG pemandu lori maut selepas kenderaan berat dipandunya melanggar belakang sebuah lori lain di Kilometer 428.9, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kuala Terengganu, pagi tadi.
Mangsa, Divakgar Anbalagan, 26, yang berasal dari Klang, Selangor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk lori jenis Isuzu yang dipandunya.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, lapor Buletin TV3.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi melibatkan sebuah lori Mercedes-Benz yang dipandu Mahmid Mohamad, 63, ketika itu dalam perjalanan dari Ajil menghala ke Tepoh sebelum dirempuh dari arah belakang oleh lori Isuzu dipandu Divakgar.
Berikutan rempuhan itu, Mahmid turut mengalami kecederaan pada bahagian muka.
Mayat Divakgar kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA), Kuala Nerus untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





