Penunggang motosikal maut terbakar, rempuh lori di LPT2

SEORANG lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lori sebelum terbakar di Kilometer 357 Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) arah Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Dungun, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa yang belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), PBK II Mohd Kamaruzaman Mohd Safii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 5.09 pagi.

“Ketika sampai, pihak kami mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah lori yang membawa muatan bungkusan.

“Seorang lelaki yang dipercayai penunggang motosikal terbakar dan telah meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sebelum kejadian, kedua-dua kenderaan terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori terbabit dikatakan terbabas ke bahu jalan.

“Dalam masa sama, sebuah motosikal yang datang dari arah belakang gagal mengelak sebelum melanggar lori terbabit menyebabkan motosikal berkenaan terbakar,” katanya.

Nik Ab Halim berkata, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

“Pemandu lori terbabit yang berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here