SEORANG pegawai kanan agensi kerajaan dan seorang pengarah syarikat direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah kira-kira RM15,000 yang dipercayai berkaitan urusan mendapatkan kontrak pembekalan.
Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an itu dikeluarkan Majistret Aliaa Anwar selepas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikemukakan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.
Tempoh reman bermula sehingga 19 Oktober ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung dakwaan meminta dan menerima wang sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pembekalan di agensi kerajaan terbabit.
Kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 2 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati perbuatan yang disyaki dilakukan secara bersama itu dipercayai berlaku antara 2021 hingga 2023.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohammad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti butiran lanjut berhubung dakwaan berkenaan.





