Pemandu pelancong dipenjara lapan bulan miliki komponen senjata api tiruan

SEORANG pemandu pelancong dipenjara lapan bulan selepas mengaku bersalah memiliki komponen senjata api tiruan di sebuah premis sewa kereta, September lalu.

Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal menjatuhkan hukuman terhadap S Leynon, 33, dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 1 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa memiliki beberapa komponen senjata api tiruan, termasuk komponen laras berwarna perak serta dua kelopak peluru berwarna hitam yang masing-masing mengandungi enam dan satu butir peluru.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis sewa kereta di Jalan New Ferry antara 1 hingga 30 September lalu, mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi, manakala tertuduh merayu hukuman diringankan atas alasan menanggung isteri dan enam anak serta memperoleh pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan sebagai pemandu pelancong.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Butterworth, Leynon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki sebilah parang sepanjang 52 sentimeter tanpa kebenaran dan 110 gram ganja di sebuah bilik hotel di Jalan Icon City, di sini, kira-kira jam 6 petang pada 1 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan memiliki parang, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan memiliki ganja pula, dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Firdaus tidak menawarkan jaminan dan memohon penangguhan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam serta menunggu laporan kimia.

Hakim Roslan Hamid tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 10 Disember ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen, laporan analisis kimia serta urusan pelantikan peguam.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here