Belanjawan 2027 diterima baik rakyat hasil keberkesanan libat urus semua peringkat – Fahmi

BELANJAWAN 2027 mendapat sambutan positif daripada masyarakat susulan pendekatan libat urus menyeluruh yang dilaksanakan kerajaan bagi mendapatkan pandangan dan mengenal pasti keperluan rakyat sebelum merangka dasar serta inisiatif negara.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendekatan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membolehkan kerajaan meneliti pelbagai cadangan daripada masyarakat, sekali gus menghasilkan belanjawan yang lebih menyeluruh berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, Perdana Menteri telah mengarahkan barisan menteri dan seluruh pasukan Kementerian Kewangan supaya mendengar pandangan rakyat serta mengadakan perbincangan bagi mengumpulkan maklum balas, cadangan dan memorandum daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, usaha tersebut membantu kerajaan memahami keperluan masyarakat dengan lebih baik, khususnya dalam aspek sosial yang menunjukkan penerimaan positif terhadap belanjawan yang dibentangkan pada Jumaat lalu.

“Walaupun mungkin masih ada perkara yang boleh diperbaiki, apa yang dibentangkan pada Jumaat lalu jauh lebih baik dan secara keseluruhannya, penerimaan terhadap aspek sosial amat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Abdul Halim Hamzah.

Perdana Menteri pada 9 Oktober lalu membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat dengan peruntukan berjumlah RM510 bilion bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh pembangunan negara.

Belanjawan itu menggariskan lapan teras utama yang merangkumi usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat serta memperkukuh daya tahan dan prospek masa depan Malaysia.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027, Anwar merumuskan komitmen berkenaan menerusi gagasan “Waad Nasional”, yang membawa tekad untuk memastikan kemajuan negara diterjemahkan kepada kehidupan lebih bermaruah bagi rakyat serta menjamin masa depan yang lebih kukuh untuk generasi akan datang.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, kerajaan komited memastikan pengurusan yang telus dan teratur dapat memberikan pulangan bermakna kepada rakyat menerusi pelaksanaan inisiatif yang memenuhi keperluan kumpulan sasaran.

Sebagai contoh, beliau memaklumkan lebih 38,000 pemandu teksi dan pemandu bas sekolah akan menerima sumbangan RM1,000 daripada Kementerian Pengangkutan bermula hari ini, menggunakan hasil jualan nombor pendaftaran kenderaan khas.

Menurutnya, inisiatif itu menunjukkan bahawa pengurusan hasil yang baik mampu membuka ruang kepada kerajaan untuk menyalurkan bantuan secara langsung kepada golongan berkaitan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi menyambut baik beberapa pengumuman dalam Belanjawan 2027, termasuk pengecualian duti hiburan bagi tayangan filem tempatan di Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan perbincangan bersama Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) perlu diteruskan bagi memastikan manfaat pengecualian berkenaan turut dinikmati penonton, selain penerbit filem tempatan.

Katanya, kerajaan mahu memastikan inisiatif itu memberikan kesan yang lebih menyeluruh kepada industri perfileman dan penonton, khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here