Ops Mega TikTok: 29 individu ditahan disyaki sebar propaganda pertubuhan haram

SEBANYAK 29 individu, termasuk seorang warga asing ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi khas bagi membanteras kegiatan mempromosi dan menyebarkan propaganda pertubuhan haram menerusi media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kesemua suspek berusia antara 18 hingga 49 tahun itu ditahan dalam Ops Mega TikTok 2026 yang dijalankan dari 10 hingga 12 Oktober lalu.

Menurut beliau, operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan aktiviti berkaitan pertubuhan yang telah diisytiharkan haram oleh kerajaan.

“Hasil operasi melibatkan 11 kontinjen iaitu Selangor, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Kedah, Melaka, Sabah dan Sarawak, sebanyak 28 lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warganegara asing, berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, kesemua individu yang ditahan kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tata Cara Jenayah bagi membantu siasatan, termasuk mengenal pasti peranan masing-masing dalam kumpulan terbabit serta kemungkinan penglibatan mereka dalam kegiatan jenayah lain.

Kes ini katanya, disiasat mengikut Seksyen 47 dan Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, masing-masing berkaitan kesalahan memiliki bahan propaganda dan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.

Bagi suspek warga asing, Kumar memberitahu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Selain itu, pihak polis turut menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam perkembangan sama, Kumar menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang sengaja menyebarkan rakaman video yang berpotensi mencetuskan kegusaran awam.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah terancang kepada polis melalui saluran rasmi atau dengan membuat laporan di balai polis berhampiran.

Kerjasama masyarakat, katanya, penting bagi membantu pihak berkuasa mengesan dan menangani kegiatan yang menyalahi undang-undang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here