SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menubuhkan Pasukan Petugas Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan serta mempercepatkan usaha menangani penjualan produk dan perkhidmatan yang melanggar undang-undang menerusi platform digital.
Inisiatif itu dipersetujui menerusi Bengkel Pengurusan Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian yang berlangsung selama tiga hari bermula 27 November lalu hingga hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penubuhan pasukan petugas berkenaan bertujuan memastikan tindakan susulan terhadap hasil bengkel dapat dilaksanakan secara tersusun dengan penglibatan agensi penguatkuasaan, badan kawal selia dan pihak berkepentingan.
Bengkel berkenaan menghimpunkan wakil daripada 16 kementerian, agensi penguatkuasaan dan badan kawal selia serta 13 penyedia platform e-dagang.

Antara hasil utama yang dikenal pasti ialah pembangunan Daftar Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian, Garis Panduan Pengalihan Keluar Barangan dan Perkhidmatan Terlarang dalam Talian serta Garis Panduan Permintaan, Pemeliharaan dan Pendedahan Maklumat bagi Tujuan Siasatan.
Ketiga-tiga instrumen itu dijangka menjadi panduan kepada pihak berkuasa dan penyedia platform dalam mengesan, mengurus serta mengambil tindakan terhadap kandungan dan urus niaga yang menyalahi undang-undang.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, pasukan petugas berkenaan akan bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan keputusan bengkel, memantau perkembangan tindakan serta menyelesaikan isu operasi yang timbul dalam pengurusan barangan dan perkhidmatan terlarang.
Dalam pada itu, penyedia platform e-dagang turut digesa memperkemas mekanisme pencegahan dan pengesanan bagi mengelakkan produk atau perkhidmatan terlarang terus ditawarkan kepada pengguna.
Mereka juga perlu memberikan maklum balas segera terhadap permintaan sah pihak berkuasa, mengambil tindakan terhadap pelanggaran berulang serta membantu proses siasatan mengikut keperluan undang-undang.
MCMC berkata, kerjasama antara agensi kerajaan dan pengendali platform digital perlu diperkukuh menerusi prosedur operasi yang jelas serta mekanisme penyelarasan praktikal mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Usaha itu merupakan kesinambungan sesi libat urus MCMC bersama agensi penguatkuasaan pada 6 Oktober lalu, diikuti pertemuan dengan penyedia platform e-dagang pada 7 Oktober.
“Pendekatan bersepadu berkenaan memberi tumpuan kepada langkah pencegahan, pengesanan awal dan tindakan intervensi yang lebih pantas bagi memastikan aktiviti perdagangan digital tidak disalahgunakan untuk menawarkan barangan atau perkhidmatan yang dilarang,” kata kenyataan MCMC itu.
MCMC menegaskan keutamaan selepas bengkel itu adalah memastikan semua keputusan yang dicapai diterjemahkan kepada tindakan berterusan bagi melindungi pengguna, meningkatkan akauntabiliti penyedia platform dan memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang negara.





