Polis rakam keterangan lima individu isu hantaran Khoo Poay Tiong

POLIS sudah mengambil keterangan lima individu bagi membantu siasatan berhubung hantaran media sosial Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang mempertikaikan arahan penutupan premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika solat Jumaat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, sebanyak lima laporan polis diterima berhubung isu berkenaan setakat jam 10 pagi tadi.

Menurutnya, siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita juga merakam keterangan Poay Tiong mengikut Seksyen 112 Kanun Tata Cara Jenayah pada 27 November lalu. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor NST.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mencetuskan ketakutan atau kegentaran awam sehingga mendorong seseorang melakukan kesalahan terhadap negara atau ketenteraman awam.

Sementara itu, Seksyen 298 memperuntukkan kesalahan mengeluarkan perkataan atau isyarat dengan niat sengaja melukakan perasaan keagamaan seseorang, manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Poay Tiong sebelum ini dipanggil ke Bukit Aman pada Jumaat lalu bagi memberikan keterangan berhubung hantaran berkenaan.

Isu itu tercetus selepas beliau mempersoalkan arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang mewajibkan premis perniagaan tertentu ditutup antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang setiap Jumaat bagi memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Pengerusi DAP Melaka itu kemudian tampil memohon maaf selepas mengakui penggunaan perkataan dan nada dalam hantaran berkenaan menimbulkan salah faham serta menyinggung perasaan masyarakat, khususnya umat Islam.

Dalam perkembangan berkaitan, polis turut menjalankan siasatan terhadap seorang lagi pemimpin DAP iaitu bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung hantaran Facebook berasingan mengenai penyahklasifikasian dokumen Lembaga Pengampunan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail sebelum ini memaklumkan bahawa sebanyak 57 laporan polis diterima membabitkan kedua-dua isu berkenaan.

Daripada jumlah itu, 55 laporan berkaitan hantaran Tony, manakala dua lagi membabitkan hantaran Poay Tiong mengenai arahan penutupan premis perniagaan di Kuala Terengganu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here