SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempergiat usaha memperkukuh standard teknikal bagi memastikan perkhidmatan penting negara termasuk komunikasi, bekalan elektrik dan air, dapat beroperasi dengan lebih selamat, stabil serta berkesan.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, keperluan itu semakin penting berikutan penggunaan teknologi digital dan sistem yang saling berhubung dalam pengurusan perkhidmatan asas, apabila gangguan pada satu sistem berpotensi menjejaskan operasi sektor lain dan kehidupan harian masyarakat.

Bagi menangani cabaran tersebut, MCMC menganjurkan seminar Enabling Intelligent and Resilient Utilities through Standards di MCMC Centre of Excellence di Cyberjaya hari ini, bersempena sambutan Hari Standard Sedunia 2026.
“Seminar berkenaan turut mengetengahkan Rangka Kerja Tadbir Urus Standard Teknik MCMC (Framework for Technical Standards Governance) yang bertujuan memperkemas proses perancangan, penyelarasan dan pembangunan standard teknikal dalam sektor komunikasi dan multimedia,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut MCMC, inisiatif itu juga mengambil kira perubahan teknologi serta keperluan industri yang semakin berkembang, bagi memastikan standard teknikal yang diguna pakai kekal relevan dan mampu menyokong operasi perkhidmatan secara bersepadu.
Katanya, program berkenaan menghimpunkan wakil agensi kawal selia, badan pembangunan standard, pemain industri, pihak berkuasa tempatan serta ahli akademik untuk bertukar pandangan mengenai penyelarasan standard teknikal merentas sektor komunikasi, tenaga, bekalan air dan pembangunan infrastruktur.
Perbincangan itu, jelas MCMC, memberi tumpuan kepada kepentingan kerjasama antara sektor dalam memastikan sistem dan teknologi yang digunakan dapat beroperasi secara serasi, sekali gus meningkatkan daya tahan perkhidmatan penting terhadap risiko gangguan.
“MCMC akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan dan pihak industri bagi menyokong pembangunan serta pelaksanaan standard teknikal yang bersesuaian.
“Usaha berterusan itu diharap dapat meningkatkan kebolehpercayaan sistem dan memastikan perkhidmatan asas negara kekal selamat, stabil serta berfungsi dengan berkesan demi kepentingan rakyat,” katanya.




