Kesepakatan bersama UMNO: Pas dapat manfaat lebih besar, lebih untung dalam jangka panjang

 WALAUPUN Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah namun dari segi percaturan politik UMNO mengambi langkah berbeza apabila mengadakan kerjasama dengan Pas.

Kesepakatan itu telah diterjemahkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini. Ketika ini kedua-dua parti sedang mengadakan rundingan untuk bekerjasama pula dalam PRN Melaka pada 14 November nanti.

Pemimpin UMNO dan Pas berharap PRN di negeri Hang Tuah itu akan memperkukuhkan lagi hubungan antara mereka dan sekaligus membolehkan ia diteruskan pada PRU-16. Namun apa yang menjadi persoalan banyak pihak ialah siapakah sebenarnya yang mendapat manfaat daripada kerjasama kedua-dua parti? Siapakah lebih untung UMNO atau Pas?

Berikut adalah pandangan dua penganalisis politik berhubung kerjasama antara UMNO-Pas yang kini menjadi perhatian ramai khususnya dalam kalangan orang Melayu:

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan UMNO, Dr.Mohammad Tawfik Yaakub

*Adakah kerjasama ini lebih menguntungkan Pas atau UMNO?

Saya lihat buat masa ini, Pas mungkin mendapat manfaat lebih besar dari segi imej kerana kerjasama dengan UMNO boleh mengukuhkan gambaran bahawa parti itu mampu memimpin blok Melayu yang lebih luas.

 Namun UMNO pula mempunyai pengalaman pentadbiran, jentera dan rangkaian politik yang masih penting. Jadi pihak yang paling untung bergantung pada pembahagian kerusi, bentuk kepimpinan dan sejauh mana kedua-duanya dapat mengekalkan sokongan pengundi masing-masing.  Jika UMNO sekadar menyumbang jentera dan undi tanpa pengaruh dalam keputusan, maka Pas yang lebih mendapat manfaat.

*Jika bukan UMNO menjadi Perdana Menteri, bagaimana masa depan politik Ahmad Zahid?

Jawatan Perdana Menteri daripada Pas tidak semestinya menamatkan pengaruh Ahmad Zahid atau UMNO. Masa depan Pas bergantung pada syarat kerjasama dan kekuatan UMNO dalam rundingan.

Jika UMNO memperoleh peranan penting dalam kerajaan serta ruang untuk menentukan dasar dan hala tuju gabungan, parti itu masih boleh menjadi rakan yang berpengaruh tetapi jika Ahmad  Zahid menerima kedudukan tersebut tanpa jaminan politik yang jelas beliau boleh berdepan tekanan daripada ahli dan penyokong yang mahu UMNO memainkan peranan lebih besar.  Namun adalah mustahil Pas akan mendapat rezeki terpijak sebagai Perdana Menteri.

*Adakah UMNO berisiko kehilangan pengaruh dan hanya menjadi rakan sekutu kepada Pas?

Saya berpandangan risiko untuk UMNO kehilangan pengaruh   memang wujud khususnya jika sokongan UMNO digunakan untuk mengukuhkan kepimpinan Pas tetapi UMNO tidak mendapat kuasa tawar-menawar yang setara. Namun menjadi rakan sekutu tidak semestinya bermakna UMNO hilang pengaruh. Pengaruh itu bergantung pada jumlah kerusi, kekuatan jentera dan kemampuan parti mengekalkan identiti serta sokongan sendiri.

Bagi saya UMNO perlu menetapkan garis yang jelas dalam pembahagian kerusi, kepimpinan dan dasar supaya kerjasama tidak berubah menjadi keadaan UMNO sekadar mengikut keputusan Pas.

 

Felo Utama Institut Kajian Etnik UKM, Profesor Dr.Kartini Talib@Khalid

*Adakah kerjasama ini lebih menguntungkan Pas atau UMNO?

Masing-masing memperoleh untung dengan cara berbeza. Dalam jangka masa singkat, Pas mendapat akses pengundi Melayu yang menyokong kuat UMNO, sementara UMNO mendapat peluang elak pertandingan 3 penjuru dan kurangkan perpecahan undi Melayu.

Namun dalam masa panjang, Pas lebih beruntung kerana dapat kekalkan momentum sebagai parti Islam terbesar dan buka ruang untuk Melayu Islam, Cina-Islam, India-Islam untuk menyokong Pas begitu juga dengan generasi muda melihat Pas sebagai alternatif utama.

*Jika bukan UMNO menjadi Perdana Menteri, bagaimana masa depan politik Ahmad Zahid?

Ini adalah soalan hipotetikal. ⁠Jika Pas menerajui kepimpinan negara, calon Pas jadi PM, senarionya ialah Ahmad Zahid kekal tokoh penting UMNO, TPM akan diberikan kepada UMNO sebagai rakan kongsi strategik, dan pertimbangan perkongsian kuasa bersama parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak serta yang berada dalam permuafakatan akan mendapat ganjaran masing-masing sesuai dengan kompromi.

*Adakah UMNO berisiko kehilangan pengaruh dan hanya menjadi rakan sekutu kepada Pas?

.UMNO dan Pas bukan kali pertama menjadi rakan sekutu; telah ada naratif bercerai, rujuk semula, kahwin lagi—kerjasama UMNO-Pas adalah mengikut kepentingan semasa untuk manfaat bersama lebih besar.

 Secara umum, dalam banyak gabungan politik, parti dominan sering menyerap pengaruh parti yang lemah dan dalam keadaan tertentu parti kecil boleh hilang identiti tersendiri. Harus diingat kedua-dua parti ini saling memerlukan, Pas masih belum mendapat keyakinan majoriti bukan Melayu di kebanyakan kawasan bandar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

UMNO pula dalam proses pemulihan imej dan memerlukan dokongan Pas untuk membentuk gabungan strategi pengukuhan etos bangsa Melayu. Maka masa depan politik Melayu sangat bergantung kepada sejauh mana parti Melayu Islam mampu mengekalkan daya saing dalam hubungan tersebut.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here