Lelaki warga China mengaku tidak bersalah tikam bekas teman wanita, adik

SEORANG penuntut universiti swasta warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bekas teman wanita dan adik lelaki wanita itu, bulan lalu.

Tertuduh, Chen Jun, 20, didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap wanita warga tempatan berusia 21 tahun dan adik lelakinya, 18, dengan menikam kedua-duanya menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Sri Bintang, Kepong, kira-kira jam 5 pagi pada 29 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal, tidak menawarkan ikat jamin kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, lapor BH.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, jumlah RM8,000 ditetapkan dengan dua penjamin rakyat Malaysia serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam, Ling Yee Siew yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya masih melanjutkan pengajian dalam jurusan kewangan dan tidak berisiko melarikan diri.

Beliau turut memaklumkan tertuduh mengalami kemurungan berdasarkan laporan perubatan hospital swasta bertarikh 14 September lalu, selain memerlukan rawatan susulan berikutan kecederaan pada kaki akibat perbuatan sendiri ketika mengalami kemurungan.

Hakim Suhaila Haron kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here