Shuib tampil mohon maaf, Jep balas `maaf, tindakan undang-undang sudah diambil’

PELAWAK dan usahawan, Shuib tampil memohon maaf secara terbuka kepada bekas rakan sekumpulan Sepah, Jep, susulan kemelut antara mereka, namun Jep memaklumkan tindakan undang-undang sudah diambil berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap dirinya.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 42, menerusi video yang dimuat naik di media sosial hari ini berkata, dia melalui tempoh sukar selepas menerima pelbagai kecaman sejak Jep bersuara mengenai isu persahabatan mereka pada 8 Oktober lalu.

Menurutnya, kecaman itu bukan sahaja ditujukan kepadanya, malah turut melibatkan isteri, Watie, anak-anak, keluarga serta perniagaannya.

“Dari hari pertama kenyataan Jep dikeluarkan sampailah ke hari ini, saya kira saya lalu satu tempoh yang sangat sukar. Saya diperli, dimaki, dihina dan dikecam.

“Ianya bukan saja berlaku kepada saya, tapi turut melibatkan isteri saya, Watie, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya,” katanya dalam hantaran itu.

Shuib berkata, dalam tempoh kurang 24 jam selepas kenyataan Jep dimuat naik, dia sudah menghantar mesej menerusi WhatsApp bagi memohon maaf atas kekhilafannya bersama Mamat yang menyindir pelawak itu dalam sebuah podcast bersama Azlee Senario.

“Saya penuh kesal dan memohon maaf kepada dia berulang kali. Saya anggap ini ujian untuk saya dan balasan di atas kekhilafan saya dalam berkata-kata,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shuib turut menjelaskan isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan memaklumkan syarikat perniagaannya, Bubblebee, sudah membuat bayaran ansuran selama 10 bulan berturut-turut sejak Januari 2026 dan masih mempunyai baki 14 bulan untuk diselesaikan.

Beliau turut memohon maaf kepada orang ramai yang tersinggung dengan tindakannya ketika muncul dalam Dol’s Podcast, selain merayu supaya kecaman dan tindakan memboikot perniagaannya dihentikan.

“Saya mohon sangat-sangat, berhentilah membuat apa-apa lagi andaian, kecaman, makian ataupun fitnah ke atas saya, isteri, anak-anak, keluarga dan perniagaan saya.

“Sepah Penyet, Bubblebee, Nusara Foods dan Sambal Hitam adalah perniagaan yang sah serta halal. Inilah sumber pendapatan keluarga saya sekarang untuk membayar segala hutang syarikat Bubblebee,” katanya.

Shuib turut menyampaikan permohonan maaf secara khusus kepada Jep, atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, dengan mengimbas persahabatan mereka yang terjalin hampir 20 tahun.

“Jep, kalau kau tengok video ni dok, aku mohon maaf. Kita kenal dekat 20 tahun, hampir separuh daripada hidup aku. Aku takkan boleh menidakkan kenangan yang telah kita bina selama ni dok, selama kita bekerjasama, susah senang yang kita pernah lalu, kejayaan yang pernah kita capai dan ianya akan aku simpan sebagai satu kenangan yang paling indah dalam hidup aku.

“Aku minta maaf di atas kekhilafan dan keegoan aku. Aku halalkan segala-galanya dan aku doakan kau dok. Allah mudahkan segala urusan kau, keluarga, isteri kau Sari Yanti dan anak-anak kau. Semoga Allah akan uruskan segala permasalahan kita dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun, Jep menerusi hantaran di Threads memaklumkan bahawa tindakan undang-undang sudah diambil atas nasihat peguam sebelum Shuib memuat naik video penjelasan itu hari ini.

Jep berkata, dia turut memohon maaf kepada Shuib berhubung tindakan berkenaan, namun menegaskan perkara yang dibangkitkan itu bukan sekadar sindiran, sebaliknya didakwa melibatkan fitnah terhadap dirinya.

“Aku pun nak minta maaf sebab ketika kau keluarkan video ini, aku telah pun mengambil tindakan undang-undang atas nasihat peguam.

“Kerana ini benar-benar fitnah jahat terhadap diri aku. Ini bukan pasal sindir, ini pasal FITNAH,” tulisnya.

Terdahulu, Jep meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan Shuib yang didakwa masih membangkitkan isu persahabatan mereka menerusi sebuah audiosiar, meskipun Jep mendakwa sudah memohon maaf atas perkara yang berlaku sebelum ini.

Jep turut menyuarakan rasa jemu apabila isu berkenaan terus diperkatakan secara terbuka.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here