SUSPEK lelaki yang disyaki membunuh isterinya di sebuah unit kediaman di Kuarters Kakitangan Kerajaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Nilai malam tadi, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Suspek yang berusia lingkungan 30-an itu dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman pagi ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, suspek direman bermula hari ini sehingga 22 Oktober depan bagi membantu siasatan.
Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan kejadian berlaku dan memaklumkan menerima maklumat sekitar jam 8.30 malam.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan maklumat lanjut berhubung kes akan dikeluarkan selepas siasatan di tempat kejadian selesai sepenuhnya.
Alzafny semalam turut mengesahkan mangsa ialah pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditemukan maut dipercayai dibunuh suaminya di Kuarters KLIA di Nilai.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pembunuhan itu dipercayai dilakukan oleh suami mangsa dan suspek telah menyerahkan diri di balai polis selepas kejadian.





