Khianat awam: Pemandu e-hailing didenda RM4,000, mohon maaf kepada umat Islam

SEORANG pemandu e-hailing didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membuat hantaran media sosial yang dikhuatiri mendatangkan khianat awam.

Majistret Nurul Saqinah Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap P Mahendra Boopathy, 53, dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan, jika gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa memuat naik hantaran video di Facebooknya dengan kenyataan mungkin menyebabkan orang awam terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap ketenteraman awam di Masjid Jamek Dato’ Bandar Hj Ahmad Rasah, Jalan Rasah, Kampung Dato Mansor, kira-kira jam 12.30 tengah hari 27 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron dalam hujahnya berkata, kenyataan tertuduh boleh mengganggu gugat ketenteraman awam di negara ini, justeru hukuman perlu berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya tidak menyentuh isu sensitif berkaitan rumah ibadah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum atas alasan kereta digunakan untuk bekerja sedang dibaiki dan menanggung seorang anak masih bersekolah serta bapa lanjut usia.

“Saya minta maaf kepada umat Islam, yang mana saya menyebarkan video itu tanpa niat apa-apa,” katanya, lapor BH.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img