Suami isteri simbah cat merah rumah mangsa along didenda RM3,000

SEPASANG suami isteri masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Segamat hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada rumah mangsa sindiket pinjaman wang tidak berlesen (along) pada Isnin lalu.

Tertuduh, Wan Aizat Azwan Wan Salleh, 40, dan Prima Septia Lily, 44, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Fadilah Johannuddin.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, pasangan terbabit dituduh bersama-sama dengan niat hendak menyebabkan kebinasaan pada harta iaitu rumah mangsa dengan cara menyimbah cat berwarna merah di Jalan Mida 2/1, Taman Mida 2 di Segamat sekitar jam 11.21 pagi 12 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Balqis Mohd Hilmi, manakala kedua-dua tertuduh tiada diwakili peguam, lapor BH.

Berdasarkan fakta kes, ‎pengadu menerima pesanan WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang menghantar video memaparkan seorang individu menyimbah cat merah ke pintu pagar rumah ibu mentuanya.

Difahamkan, pengadu mengaku suaminya pernah membuat pinjaman daripada along sebelum ini.

Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan kedua-dua tertuduh pada hari sama.

Hasil siasatan mendapati mereka terbabit kes gangguan along dengan menyimbah cat itu, malah pasangan berkenaan mengaku berbuat demikian kerana ingin menerima wang upah untuk membayar hutang.

Wanita terbabit berperanan memandu kereta dan merakam video, manakala suaminya pula menyimbah cat pada alamat rumah itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here