KERAJAAN masih memperhalusi dua cadangan reformasi perlembagaan membabitkan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, susulan sembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.
“Bagi cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Anwar telah mengarahkan Datuk Seri Azalina Othman Said mengadakan sesi libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang menyediakan draf pindaan perlembagaan berkenaan,” katanya dalam sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sebarang pindaan atau penambahbaikan selepas perbincangan itu perlu dimaklumkan semula kepada Majlis Raja-Raja.
“Ini dua usaha reformasi yang besar dan ada sedikit lagi proses yang perlu diperhalusi,” katanya.
Sebelum ini, cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri dan pengasingan peranan Peguam Negara serta Pendakwa Raya menjadi antara perkara utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273.
Mesyuarat dua hari yang bermula di Istana Negara itu dipengerusikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, manakala Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat hadir pada hari kedua dengan diiringi Anwar.





