Nahas helikopter FDS: Kapten Zainol Afiq disahkan sihat, miliki lesen sah – BSKU

JURUTERBANG helikopter Bo-105 Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas dalam nahas di Long Lellang, Sarawak pada 8 September lalu disahkan sihat dari segi perubatan dan memiliki lesen yang sah.

Selain itu, pesawat berkenaan juga didapati layak terbang ketika kejadian.

Laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, mempunyai pengalaman penerbangan selama 1,825.5 jam, termasuk 915 jam 50 minit menggunakan helikopter jenis Bo-105.

Laporan itu menyebut, Zainol Afiq merekodkan 81 jam 48 minit penerbangan dalam tempoh 90 hari sebelum nahas pada 8 September lalu, manakala tempoh rehat sebelum penerbangan terakhir adalah 22 jam.

“Zainol memiliki Lesen Juruterbang Komersial (helikopter) yang sah, dengan kelayakan mengendalikan pesawat jenis Bo-105 dan lesen itu sah sehingga 31 Januari 2027.

“Beliau turut menjalani pemeriksaan perubatan pada 26 Januari tahun ini, dengan sijil perubatan sah sehingga 31 Januari 2027.

“Juruterbang berkenaan memiliki lesen, kelayakan dan kelulusan sewajarnya untuk melaksanakan penerbangan mengikut peraturan berkuat kuasa.

“Selain itu, beliau mempunyai sijil perubatan sah dan berada dalam keadaan sihat dari segi perubatan untuk menjalankan penerbangan,” menurut laporan itu, lapor BH.

Laporan itu menyebut, helikopter itu juga mempunyai Sijil Pendaftaran dan Sijil Kelayakan Udara yang sah serta disahkan layak terbang ketika kejadian.

Pesawat jenis MBB-Bo105 S yang dibina Eurocopter Deutschland GmbH pada 1991 itu menggunakan nombor pendaftaran 9M-LLF dan nombor siri S-867, serta dimiliki Rotorwing (Malaysia) Sdn Bhd.

Sijil Pendaftaran pesawat berkenaan sah sehingga 28 Julai 2029, manakala Sijil Kelayakan Udaranya sah sehingga 4 Ogos 2027.

Laporan itu turut menyatakan keadaan cuaca dilaporkan baik dan tiada panggilan kecemasan direkodkan sebelum nahas berlaku.

Semua frekuensi komunikasi juga beroperasi secara normal sepanjang penerbangan.

Berdasarkan penilaian cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula, keadaan di sekitar landasan udara secara umumnya baik dengan jarak penglihatan melebihi 10 kilometer ketika kejadian.

“Data radar dan imejan satelit menunjukkan tiada aktiviti ribut petir atau hujan yang ketara dalam lingkungan 20 batu nautika dari landasan udara antara jam 8 pagi hingga 3 petang.

“Bagaimanapun, aktiviti perolakan awan sederhana dikesan di kawasan berkenaan mulai kira-kira jam 4 petang,” menurut laporan itu.

Selain itu, laporan berkenaan turut memaklumkan pemerhatian angin permukaan tersedia bagi STOLport Long Lellang, namun tiada amaran lapangan terbang atau amaran ricih angin dikeluarkan.

Tiada maklumat meteorologi penting (SIGMET) atau maklumat meteorologi untuk penerbang (AIRMET) berkuat kuasa dalam lingkungan 20 batu nautika dari landasan udara berkenaan.

Menurut BSKU, helikopter itu melakukan beberapa persinggahan dalam perjalanan dari Miri ke Long Lellang.

“Berdasarkan maklumat operasi dan rekod penjejakan penerbangan Spider Track, helikopter itu menghidupkan enjin pada jam 10.15 pagi sebelum berlepas dari Miri pada jam 10.24 pagi menuju ke Ba’Lai.

“Helikopter itu mendarat di Ba’Lai pada jam 11.39 pagi sebelum enjin dimatikan.

“Operasi penerbangan kemudiannya disambung semula pada jam 1.36 petang dengan penerbangan menuju ke Selungo,” menurut laporan itu.

Helikopter berkenaan mendarat di Selungo pada jam 2.02 petang dan enjinnya dimatikan sebelum mengisi minyak sebagai persediaan untuk penerbangan seterusnya.

Juruterbang kemudian menghidupkan enjin semula pada jam 3.17 petang sebelum berlepas menuju ke STOLport Long Lellang.

“Lokasi terakhir yang direkodkan dalam data Spider Track adalah pada jam 3.27 petang, ketika helikopter itu berada kira-kira tiga batu nautika dari STOLport Long Lellang,” menurut laporan itu lagi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here