Polis kesan individu disyaki curi kabel MRT

POLIS sedang mengesan individu yang disyaki mencuri kabel berhampiran landasan Transit Aliran Massa (MRT) antara stesen Phileo Damansara dan Pusat Bandar Damansara, semalam.

Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, berkata kejadian itu dikesan kira-kira jam 2.30 pagi apabila seorang juruteknik berusia 27 tahun menemui beberapa gulung kabel yang sudah dipotong ketika rondaan rutin bersama anggota polis bantuan.

“Kabel itu ditemukan di kawasan terbuka sepanjang jajaran MRT, kira-kira 200 meter dari stesen Pusat Bandar Damansara.

“Hasil pemeriksaan mendapati kabel berkenaan sudah dipotong,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, juruteknik terbabit tidak menyaksikan kejadian itu dan tidak dapat mengesahkan pemilikan atau asal usul kabel berkenaan.

Hoo berkata, laporan polis dibuat pada jam 5.36 pagi susulan penemuan itu.

Katanya, sebanyak sembilan gulung kabel tembaga kosong berukuran 150 milimeter dengan panjang keseluruhan kira-kira 90 meter ditemukan, selain empat gulung kabel negatif berukuran 400 milimeter sepanjang kira-kira 12 meter.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan cubaan mencuri.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti individu yang terbabit serta menentukan keadaan sebenar kejadian,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai yang menyaksikan aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan polis.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here