Di sebalik amanah seorang Menteri Besar…

CORETAN PILIHAN

SEBAGAI anak Negeri Sembilan, kejadian yang berlaku hari ini (semalam) benar-benar menyentuh hati aku.

Aku tahu, mungkin ada yang melihat kejadian ini dari sudut yang berbeza. Ada yang mempunyai pandangan tersendiri, dan aku tak berniat untuk menjadi hakim atau menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah. Tetapi di sebalik segala kemelut yang sedang berlaku, aku harap kita tidak lupa satu perkara.

Di sebalik jawatan seorang Menteri Besar, tetap ada seorang manusia yang mempunyai perasaan, maruah dan keluarga. Menteri Besar yang ada hari ini bukanlah orang yang mencetuskan kemelut ini.

Daripada apa yang aku dengar daripada mereka yang dekat dengan beliau, Dato’ Ismail Lasim sebenarnya tidak pernah membayangkan dirinya akan memikul amanah sebagai Menteri Besar, apatah lagi dalam keadaan negeri sedang berdepan kemelut seperti hari ini. Cuba kita bayangkan sejenak.

Seseorang yang selama ini menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, berkhidmat kepada masyarakat dan membina hubungan dengan penduduk di kawasannya, tiba-tiba perlu memikul satu amanah yang jauh lebih besar. Bukan sekadar memikirkan dirinya sendiri, tetapi perlu memikirkan pentadbiran sebuah negeri, kebajikan rakyat dan masa depan Negeri Sembilan. Amanah itu datang bersama tanggungjawab yang besar. Dan hari ini, amanah itu juga datang bersama ujian yang bukan kecil.

Dato’ Ismail mempunyai pengalaman panjang sebagai wakil rakyat, termasuk mewakili Senaling dan Juasseh. Pada pandangan aku, kemenangan beliau berulang kali di kawasan yang diwakilinya menunjukkan bahawa beliau telah membina hubungan dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat melalui khidmat serta tanggungjawab yang dilaksanakan selama ini.

Namun, apabila seseorang diberikan amanah yang besar, kita tidak boleh hanya melihat jawatan yang disandangnya. Kita juga perlu melihat manusia yang sedang memikul amanah tersebut. Beliau juga manusia biasa. Beliau juga mempunyai hati yang boleh terluka. Mempunyai perasaan yang boleh tersentuh. Mempunyai maruah yang perlu dijaga dan keluarga yang mungkin turut merasai beratnya ujian yang sedang dihadapi.

Kita tidak tahu sepenuhnya apa yang bermain di fikirannya ketika berdepan semua ini. Kita tidak tahu sejauh mana beratnya tekanan yang terpaksa ditanggung. Sebab itulah aku rasa, sedikit empati daripada kita sebagai sesama manusia bukanlah sesuatu yang keterlaluan untuk diberikan.

Kita boleh berbeza pandangan. Kita boleh mempunyai pendirian masing-masing. Tetapi jangan sampai kita terlupa bahawa orang yang sedang kita perkatakan itu juga manusia seperti kita. Dan ada satu perkara daripada kejadian hari ini yang benar-benar wajar kita renungkan.

Dalam rakaman kejadian di masjid yang dilaporkan media, Dato’ Ismail dilihat tetap memberikan sembah hormat kepada Tuanku Muhriz, ketika berdepan situasi yang tegang. Aku tak tahu apa yang beliau rasakan ketika itu. Aku juga tak mahu membuat andaian tentang apa yang bermain dalam hatinya.

Tetapi sebagai anak Negeri Sembilan, aku melihat satu pengajaran yang cukup besar daripada kejadian ini. Bayangkan berada dalam satu keadaan yang cukup menguji emosi, tetapi dalam keadaan itu, beliau tetap menunjukkan sembah hormat.

Kita mungkin tidak mampu mengawal bagaimana orang lain melayan kita, tetapi kita masih boleh memilih bagaimana kita membawa diri. Dan kadangkala, ketika kita diuji, bukan kata-kata kita yang paling banyak menceritakan siapa diri kita, tetapi adab yang masih kita jaga ketika emosi sedang diuji.

Inilah nilai yang sepatutnya kita pelihara sebagai anak Negeri Sembilan. Kita dibesarkan dengan adat dan adab. Kita diajar menghormati institusi, menjaga tutur kata dan meletakkan kebijaksanaan mengatasi kemarahan.

Menghormati seseorang bukan bermakna kita tidak mempunyai perasaan. Menjaga adab bukan bermakna kita tidak mempunyai pendirian. Maruah seseorang bukan hanya terletak pada jawatan yang disandangnya, tetapi juga pada bagaimana dia membawa dirinya ketika berdepan ujian.

Kita mungkin tidak tahu apa yang sedang ditanggung oleh seseorang. Kita mungkin tidak tahu betapa beratnya ujian yang sedang dihadapinya. Tetapi sekurang-kurangnya, janganlah kita menambah luka yang mungkin sudah sedia ada. Kita tidak perlu bersetuju dengan semua perkara untuk terus menghormati seseorang sebagai manusia. Kita boleh berbeza pandangan tanpa kehilangan kemanusiaan. Kita boleh mempertahankan prinsip tanpa mengorbankan adab.

Dalam masa yang sama, sebagai anak Negeri Sembilan, kita juga perlu kembali kepada nilai adat, adab dan kebijaksanaan yang menjadi sebahagian daripada warisan negeri ini.

Pada 14 Oktober lalu, Raja-Raja Melayu dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan berhubung kemelut institusi takhta Negeri Sembilan.

Antara perkara yang ditekankan dalam laporan media ialah kepentingan menyelesaikan pertikaian melalui saluran yang sah dan berwibawa, dengan mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran serta penghormatan terhadap adab, adat dan undang-undang. Pihak luar turut diseru supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan kemelut ini, manakala orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan khabar yang belum disahkan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menambahkan ketegangan.

Jadi, bukankah sudah tiba masanya kita mengambil iktibar daripada seruan tersebut? Kita boleh mempunyai pandangan sendiri. Kita boleh mengambil berat tentang apa yang berlaku kepada negeri yang kita sayangi. Tetapi jangan sampai emosi menyebabkan kita terlupa untuk menjaga tutur kata dan menghormati adat.

Jangan sampai kita terlalu mengikut emosi sehingga menjadi batu api yang menambahkan ketegangan. Jangan sampai kerana terlalu ghairah mempertahankan pandangan sendiri, kita terlupa bahawa keamanan negeri ini turut menjadi tanggungjawab kita bersama.

Kita boleh bersuara tanpa menghina. Kita boleh mengambil berat tanpa mengapi-apikan. Kita boleh mempunyai pendirian tanpa menjatuhkan maruah orang lain. Kita juga perlu sedar bahawa bukan semua perkara yang berlaku di peringkat tertinggi dapat kita ketahui sepenuhnya. Ada perkara yang perlu diselesaikan oleh pihak yang berautoriti melalui saluran yang betul.

Jadi, berilah ruang untuk perkara ini diselesaikan dengan penuh kebijaksanaan. Kalau kita benar-benar sayangkan Negeri Sembilan, marilah kita buktikan melalui cara kita menjaga negeri ini, bukan dengan menambahkan perpecahan dalam kalangan rakyatnya.

Buat Dato’ Ismail bin Lasim, kami doakan semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada Dato’ untuk terus memikul amanah ini. Semoga Dato’ diberikan kesabaran ketika diuji, ketenangan ketika berdepan tekanan dan kebijaksanaan dalam membuat setiap keputusan.

Teruskan berkhidmat untuk rakyat selagi amanah itu masih berada di bahu Dato’.

Mungkin tidak semua orang memahami apa yang sedang Dato’ lalui. Mungkin ada yang melihat keadaan ini dari sudut yang berbeza. Tetapi semoga Dato’ sentiasa diberikan kekuatan untuk menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.

Dan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, marilah kita berhenti sejenak daripada berbalas kata, saling menyalahkan dan menambahkan kemarahan.

Mari kita pandang keadaan ini dengan hati yang lebih tenang. Di sebalik segala kemelut yang berlaku, kehidupan rakyat tetap perlu diteruskan.Ada ibu bapa yang perlu mencari rezeki untuk anak-anak. Ada keluarga yang sedang berjuang menyelesaikan masalah masing-masing. Ada rakyat yang hanya mengharapkan negeri ini terus aman supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

Mereka tidak meminta banyak. Mereka cuma mahu hidup dengan tenang, mencari rezeki dan membesarkan keluarga tanpa perlu dibebani kemelut yang berpanjangan. Sebab itulah kita berharap agar segala yang berlaku dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya, demi kepentingan negeri dan seluruh rakyatnya.

Akhirnya, marilah kita sama-sama terus menadah tangan dan berdoa kepada Allah SWT.

Ya Allah, lembutkanlah hati semua pihak yang sedang berdepan dengan kemelut ini. Kurniakanlah mereka kebijaksanaan dalam membuat keputusan, kesabaran ketika diuji dan keikhlasan dalam mencari jalan penyelesaian. Ya Allah, peliharalah Negeri Sembilan daripada perpecahan. Satukanlah hati rakyatnya, peliharalah adat dan institusinya, serta bimbinglah para pemimpin kami agar dapat menjalankan amanah dengan sebaik-baiknya.

Permudahkanlah segala urusan yang sedang kusut. Bukakanlah jalan penyelesaian yang membawa keadilan, kebaikan dan keamanan kepada semua.

Dan dalam kita berbicara tentang kuasa, kedudukan dan kebesaran manusia, janganlah kita lupa satu hakikat yang paling besar. Setinggi mana pun kedudukan manusia, sebesar mana pun kuasa yang dimilikinya, dan setinggi mana pun seseorang itu diangkat oleh manusia, semuanya tetap tertakluk kepada kekuasaan Allah SWT.

Manusia boleh merancang. Manusia boleh membuat keputusan. Manusia boleh memegang jawatan dan diberikan kuasa. Tetapi tiada seorang pun yang memiliki kuasa mutlak di muka bumi ini. Kuasa manusia ada batasnya. Jawatan manusia ada tempohnya. Tetapi kekuasaan Allah SWT mengatasi segala-galanya.

Sebab itulah, dalam kemelut seperti ini, janganlah kita hanya bergantung kepada kekuatan manusia. Kembalilah kepada Allah, mohonlah petunjuk-Nya dan berdoalah agar setiap pihak diberikan hati yang lapang untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Kita tidak mahu melihat sesiapa terus terluka. Kita tidak mahu melihat rakyat terus berpecah. Kita tidak mahu melihat negeri yang kita sayangi ini kehilangan ketenangan hanya kerana kemelut yang belum menemui penghujungnya.

Kita mahu Negeri Sembilan kembali aman. Kita mahu adat dan institusi terus dihormati. Kita mahu para pemimpin dapat menjalankan amanah, dan kita mahu rakyat menjalani kehidupan dengan tenang. Kerana akhirnya, yang kita mahu bukanlah kemenangan mana-mana pihak atas penderitaan pihak yang lain. Yang kita mahu ialah penyelesaian yang membawa kebaikan kepada Negeri Sembilan dan seluruh rakyatnya.

Semoga Allah SWT memelihara Negeri Sembilan, membimbing setiap pemimpin kita, melembutkan hati semua pihak dan menunjukkan jalan keluar yang terbaik daripada kemelut ini.

Sesungguhnya, sebaik-baik tempat kita berharap ialah Allah SWT. Dan sebaik-baik penyelesaian ialah penyelesaian yang membawa keadilan, kebaikan dan keamanan kepada semua.

Amin ya Rabbal alamin.

Tuah Zainal

Anak Waghih Nismilan

*Dipetik daripada Facebook Tuah Zainal.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here