Lebih 5,000 umat Islam Selatan Thailand hadir majlis selawat bersama Al-Habib Umar di Pattani

LEBIH 5,000 umat Islam menghadiri majlis ‘Fatoni Bersolawat’ di Stadium Aom Thong, Muang, Pattani kelmarin sempena lawatan ulama terkemuka Yaman, Al-Habib Umar Muhammad Salim Hafidzh.

Panglima Tentera Darat Wilayah Ke-4 merangkap Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Ke-4, – Leftenan Jeneral Narathip Phoyanok, telah merasmikan majlis berkenaan.

Turut hadir ulama dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura, termasuk Mufti Besar Acheh dari Indonesia, bersama delegasi pemimpin Islam serantau ASEAN.

Antara tetamu kehormat lain yang hadir termasuk Mejar Jeneral Korrakot Phoochoti, Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Ke-4 Bahagian Depan, ketua jabatan kerajaan, tokoh agama, para muslimah, serta golongan belia – dengan jumlah kehadiran melebihi 5,000 orang.

Dalam ucapannya, Leftenan Jeneral Narathip menyatakan rasa sukacita dan penghormatan dapat menyambut kehadiran Habib Umar serta rombongan.

 Beliau menegaskan bahawa pihak Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Ke-4, dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, Majlis Muwasolah Thailand, dan para pemimpin agama setempat, bertekad untuk memperkukuh kefahaman terhadap ajaran Islam yang sebenar – yang menekankan kasih sayang, persefahaman dan keamanan di wilayah sempadan selatan Thailand.

Beliau turut menekankan bahawa, pihak Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Ke-4 akan terus berdiri bersama rakyat, dengan tekad dan iltizam untuk mengikuti ajaran Rasulullah SAW, yang menjadi cahaya petunjuk bagi seluruh umat manusia – ke arah kehidupan penuh kasih, keadilan dan tolong-menolong dalam kepelbagaian.

Acara malam itu turut diisi dengan ceramah agama oleh ulama tempatan dan antarabangsa yang menyentuh tentang ajaran Islam yang benar, kecintaan terhadap Rasulullah SAW, serta bacaan selawat bersama bagi memperingati junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Dalam kesempatan tersebut, Habib Umar Muhammad Salim bin Hafidz turut menyampaikan tausiah yang menekankan pentingnya keimanan kepada Allah SWT, berpegang teguh pada kebenaran, serta hidup secara harmoni dalam masyarakat yang majmuk dan berbilang budaya – sebagai asas kepada keamanan yang berkekalan di wilayah selatan Thailand.

Majlis itu juga membuktikan ketelusan pemerintah Thailand untuk memastikan umat Islam dapat melaksanakan ibadah dan menganjurkan program agama dengan bebas  sekaligus menolak propaganda puak pemisah kononnya Islam di wilayah itu ditindas.


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img