Kerajaan teliti dasar nyahklasifikasi dokumen sejarah – Fahmi

KERAJAAN bersetuju meneliti cadangan menetapkan dasar umum bagi menyahklasifikasikan dokumen sejarah yang kini dikategorikan sebagai dokumen terperingkat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), susulan pandangan dikemukakan sejarawan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan Mesyuarat Majlis Sejarawan Negara Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung minggu ini.

Katanya, cadangan berkenaan akan diteliti bersama Jabatan Peguam Negara dan agensi berkaitan bagi melihat implikasi serta kaedah memudahkan akses kepada dokumen sejarah.

“Jemaah Menteri bersetuju dengan beberapa pandangan yang diutarakan oleh para sejarawan mengenai kesesuaian menetapkan satu dasar umum berhubung penyahklasifikasian dokumen-dokumen sejarah yang ketika ini dikategorikan sebagai dokumen terperingkat di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Perkara ini akan diteliti termasuk oleh Peguam Negara untuk melihat implikasi dan juga kemudahan akses kepada dokumen-dokumen sejarah. Perdana Menteri berpandangan perkara ini perlu dilaksanakan dengan segera tetapi secara teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.

Mengulas tempoh pelaksanaan proses berkenaan, Fahmi berkata, kerajaan akan merujuk Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum menentukan dokumen yang sesuai untuk dinyahklasifikasikan.

“Arahan Perdana Menteri adalah ia perlu dilaksanakan segera tetapi dengan teliti. Kita akan rujuk dengan Jabatan Peguam Negara tentang beberapa aspek, selain PDRM dan KDN.

“Dokumen yang mungkin tidak terlalu sensitif, walaupun suatu ketika dahulu tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi, mungkin lebih mudah untuk dinyahklasifikasikan,” katanya.

Sementara itu, Fahmi memberitahu, Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meminda garis panduan pengurusan serta pelupusan kenderaan terbiar.

Fahmi berkata, langkah itu diambil susulan aduan dan pandangan diterima berhubung proses pengurusan serta pelupusan kenderaan terbiar sedia ada yang didapati mengambil masa terlalu lama, selain memerlukan penyelarasan lebih baik antara agensi berkaitan.

Katanya, proses seterusnya akan diteruskan oleh KPKT dan MoT bagi memastikan cadangan pindaan garis panduan itu dapat diteliti serta diselaraskan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here