CSA perkukuh kestabilan kerajaan, tetapi uji kesatuan pembangkang – Penganalisis

PERJANJIAN Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) antara Kerajaan MADANI dengan Ahli Parlimen pembangkang berpotensi memperkukuh kestabilan politik negara, khususnya dalam memastikan kelancaran urusan pentadbiran serta kelulusan Belanjawan 2027.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, persefahaman itu mampu mengurangkan ketidaktentuan politik, sekali gus memberi ruang kepada kerajaan menumpukan perhatian terhadap pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.

DR Mohammad Tawfik Yaakub

Bagaimanapun, beliau berpandangan keberkesanan CSA bukan sahaja bergantung kepada komitmen kedua-dua pihak, malah perlu mengambil kira kebebasan pembangkang untuk terus mengkritik dasar kerajaan dan melaksanakan peranan semak imbang.

“Pada pandangan saya, perjanjian CSA berpotensi memperkukuh kestabilan politik negara kerana memberikan jaminan sokongan tambahan kepada Kerajaan MADANI, khususnya dalam kelulusan Belanjawan 2027 dan urusan keyakinan terhadap kerajaan.

“Walaupun kerajaan sudah mempunyai sokongan majoriti yang besar di Parlimen, kerjasama ini dapat mengurangkan ketidaktentuan politik serta membolehkan pentadbiran memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.

Beliau berkata, CSA juga membuka ruang kepada hubungan lebih konstruktif antara kerajaan dan pembangkang tanpa memerlukan wakil pembangkang menyertai pentadbiran.

Menurutnya, mekanisme itu boleh menggalakkan budaya politik yang lebih mengutamakan rundingan dan persefahaman, khususnya dalam perbahasan belanjawan serta usaha melaksanakan reformasi institusi.

“CSA merupakan mekanisme penting untuk membentuk hubungan politik yang lebih konstruktif antara kerajaan dengan pembangkang tanpa memerlukan penyertaan pembangkang dalam pentadbiran.

“Namun, pembangkang perlu mengekalkan kebebasan untuk mengkritik dasar kerajaan dan melaksanakan fungsi semak imbang secara berkesan,” katanya.

Mengulas kemungkinan perjanjian itu mencetuskan ketegangan baharu, Mohammad Tawfik berkata, perbezaan pendekatan dalam kalangan pembangkang terhadap kerjasama dengan kerajaan berpotensi menimbulkan persoalan mengenai kesatuan serta hala tuju politik blok berkenaan.

Katanya, keadaan itu boleh dielakkan sekiranya kedua-dua pihak mempunyai persefahaman jelas mengenai tanggungjawab dan batas kerjasama, selain memastikan pelaksanaan perjanjian dibuat secara telus.

“Keberkesanan CSA bergantung kepada ketelusan pelaksanaan, pematuhan komitmen serta keupayaan kedua-dua pihak membezakan kerjasama pentadbiran dengan persaingan politik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sokongan Ahli Parlimen pembangkang menerusi CSA berpotensi memastikan kesinambungan dasar pembangunan negara, terutama apabila kelulusan Belanjawan 2027 mendapat sokongan lebih terjamin.

Menurutnya, keadaan itu dapat mengurangkan risiko gangguan politik terhadap proses peruntukan kewangan, pelaksanaan projek pembangunan dan program kebajikan rakyat.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kejayaan pelaksanaan dasar tetap bergantung kepada kecekapan pentadbiran, kedudukan kewangan negara serta keberkesanan penyampaian bantuan kepada rakyat.

Mengulas kesan lebih luas terhadap demokrasi berparlimen, Mohammad Tawfik berkata, CSA boleh menjadi perkembangan penting ke arah kematangan politik apabila kerajaan dan pembangkang mampu bekerjasama dalam perkara berkepentingan nasional tanpa mengetepikan perbezaan politik.

“Bagi Kerajaan MADANI, CSA menyediakan sokongan tambahan sehingga penghujung penggal Parlimen, tetapi kestabilan jangka panjang masih bergantung kepada prestasi pentadbiran, hubungan antara parti kerajaan dan keyakinan rakyat.

“CSA tidak seharusnya melemahkan fungsi pembangkang kerana demokrasi yang sihat memerlukan kerajaan stabil serta pembangkang yang berkesan,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here