PM arah tindakan segera tangani aduan pengguna platform e-dagang – Fahmi

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Komunikasi mengambil tindakan segera bagi menangani masalah pengguna platform e-dagang, khususnya berkaitan penipuan dan penyelewengan transaksi.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, antara isu yang dibangkitkan termasuk caj serta komisen tinggi dikenakan terhadap penjual, selain pengguna menerima barangan yang tidak menepati pesanan.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut diminta memberi perhatian terhadap kegiatan penipuan atau scam yang berlaku menerusi platform berkenaan.

“YAB Perdana Menteri telah membangkitkan keprihatinan beliau mengenai masalah yang dihadapi pengguna platform e-dagang, khusus berkaitan fi, komisen tinggi yang dikenakan kepada penjual atau produk yang dibeli diterima tetapi tidak seperti yang ditempah.

“Jadi, ada beberapa perkara yang beliau minta pihak KPDN, Kementerian Komunikasi, khususnya MCMC, untuk ambil tindakan terutama berkaitan fraud atau scam dalam platform e-dagang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.

Fahmi berkata, satu pertemuan antara MCMC dengan semua pemain utama platform e-dagang telah diadakan beberapa minggu lalu bagi membincangkan isu berkenaan.

Beliau berkata, satu pemukiman membabitkan agensi penguatkuasaan pula akan diadakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang bagi menyelaras tindakan bersepadu untuk menangani aduan pengguna.

“Arahan Perdana Menteri adalah perkara ini perlu diutamakan dan dilaksanakan pada kadar segera.

“Insya-Allah, esok sewaktu sambutan Hari Kurier Negara, saya akan ada beberapa pengumuman tambahan berkaitan isu ini,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here