PH selesai tapisan calon PRN Melaka, wajib tandatangani bon – Fahmi

PAKATAN Harapan (PH) selesai menjalankan tapisan terhadap calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, termasuk semakan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata calon yang dipilih turut diwajibkan menandatangani bon yang ditetapkan parti, dengan denda dikenakan sekiranya mereka melanggar syarat berkenaan.

“Jika berlaku pelanggaran, denda akan dikenakan. Bagi Ahli Parlimen sebelum ini, jumlah dendanya ialah RM10 juta,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Smart Parents Interactive Hub di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata PH dijangka mengumumkan senarai calonnya pada 24 Oktober, selepas proses pemilihan dimuktamadkan.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata senarai calon PH dijangka menggabungkan muka baharu dan ahli politik berpengalaman, termasuk mereka yang pernah bertanding atau memenangi pilihan raya sebelum ini.

Menurutnya, pemilihan calon turut mengambil kira perubahan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi PH susulan perbincangan dengan rakan gabungan parti itu.

“Setakat yang saya tahu, walaupun senarai calon belum dimuktamadkan sepenuhnya, ia merupakan gabungan. Ada yang berpengalaman, ada yang pernah bertanding dan ada yang pernah menang, manakala sesetengahnya mungkin pernah bertanding di kawasan lain,” katanya.

PRN Melaka ke-16 dijadualkan berlangsung pada 14 November, dengan hari penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Pada PRN Melaka sebelum ini, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala PH memperoleh lima kerusi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here