PRN Melaka: Gelanggang parti politik ‘cari pasangan’ hadapi PRU-16…siapa uji siapa?

BERBANDING Johor dan Negeri Sembilan (NS), Pilihan Raya Negeri  (PRN) Melaka pada 14 November ini bakal menghidangkan pelbagai adegan politik menarik apabila gelanggang kempen bermula pada 31 Oktober ini dengan proses penamaan calon.

PRN Melaka  boleh dianggap medan ujian kepada parti-parti bertanding khususnya melibatkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN).  Mereka akan bertarung merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sekaligus akan memberi bayangan sejauh manakah kekuatan masing-masing.

Penulis difahamkan, BN akan bergabung tenaga dengan PN yang terdiri daripada Pas, Wawasan, MIPP, Gerakan dan Pejuang. Manakala Bersatu  pula desas-desus bertiup kencang bahawa parti itu mungkin akan bekerjasama dengan PH.

PRN Melaka juga adalah ujian kepada Wawasan dan Bersatu untuk membuktikan sejauh manakah kekuatan mereka. Adakah mereka mempunyai kekuatan tersendiri atau sekadar ‘bertenggek’ atas kekuatan parti lain.

Selain itu PRN tersebut juga boleh dianggap isyarat kepada apakah bentuk pertarungan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Adakah BN akan terus bekerjasama dengan Pas? Adakah benar PH akan bergabung bersama Bersatu? Adakah Wawasan bermanfaat untuk Pas?

Penulis mendengar pelbagai gosip mengenai apa yang berlaku dalam parti-parti terlibat sama ada mereka anggota  BN, PN atau PH.

Untuk BN, penulis difahamkan di dalam UMNO ada pendapat berbeza berhubung kerjasama dengan PN. Ada pemimpin UMNO tidak mahu kerjasama itu diwujudkan. Ada pemimpin UMNO hanya mahu bekerjasama dengan Pas sahaja tetapi yang pasti kedua-dua kelompok ini tidak mahu bekerjasama dengan Wawasan.

Bagaimanapun oleh kerana Pas tetap mempertahankan semangat setiakawan dengan Wawasan maka jalan yang mungkin diambil  ialah BN akan serah jumlah kerusi tertentu kepada Pas dan terserah kepada parti itu membahagi-bahagikan sesama komponen PN kecuali Bersatu.

Pada masa sama dalam Pas sendiri, ada yang tidak berkenan parti itu memberi banyak ruang kepada Wawasan kerana mereka menganggap Wawasan tiada bezanya dengan Bersatu. Atas sebab itulah ada pemimpin Pas menganggap tumpuan kerjasama dalam pilihan raya sama ada di PRN Melaka atau PRU-16, ia sepatutnya hanya melibatkan UMNO dan Pas sahaja.

Bagaimanapun ada juga puak dalam Pas tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan UMNO kerana mereka bimbang berlaku konflik  pembahagian kerusi khususnya di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kelompok ini marah apabila UMNO awal-awal lagi mahu mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi dalam PRN Melaka tetapi pada masa sama Pas disuruh membuktikan keikhlasan dengan menyerahkan sebahagian kerusi yang mereka menang di empat negeri tersebut kepada UMNO.

Sebenarnya, PRN Melaka bukanlah medan sesuai untuk mengetahui sejauh manakah kekuatan atau manfaat kerjasama antara UMNO dan Pas. Ia kerana UMNO awal-awal lagi menyatakan mereka akan mempertahan 21 kerusi tersebut, maknanya PN mungkin bertanding tujuh kerusi sahaja.

Jumlah kerusi  itu tidak boleh dijadikan ukuran sejauh mana Pas boleh memberi manfaat kepada UMNO. Lagi pula Pas tidaklah kuat di Melaka. Lainlah kalau di Perak atau Pahang yang khabarnya kekuatan kedua-dua parti adalah seimbang.

Bagi Wawasan pula, penulis tahu selepas ini majoriti Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu akan menyertai Wawasan. Untuk Melaka, cukuplah kalau Wawasan bertanding di DUN Bemban dan Sungai Udang sahaja sepertimana diminta oleh Presidennya Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Kedua-dua kerusi itu sebelum ini disandang oleh Dr.Mohd Aleef Yusof (Sungai Udang) dan Dr.Mohd Yadzil Yaakub (Bemban) yang. Kedua-dua mereka menang dengan majoriti undi bawah 600 undi ketika mewakili Bersatu. Tetapi jika Wawasan mahu bertanding di situ adakah ahli-ahli UMNO akan memberi sokongan?

Ia memandangkan ahli-ahli UMNO dilihat bersedia dan tidak ada masalah mahu menerima calon Pas tetapi mereka cukup keberatan menerima calon Wawasan – itulah bisikan yang sampai ke telinga penulis.

Mengenai Bersatu pula, penulis tidak dapat melihat apa signifikan atau faedahnya untuk PH membuat kerjasama dengan parti pimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin itu di Melaka. Ia memandangkan Bersatu bagaikan ‘hidup segan mati tak mahu’ bukan sahaja negeri tersebut tetapi seluruh negara.

Tindakan Ketua Pemuda Bersatu Melaka Muhammad Jefri Safry keluar daripada parti itu dan menyertai Wawasan membuktikan Bersatu sudah tidak ada apa-apa kekuatan. Oleh itu PH perlu mempertimbangkan wajar atau tidak, mereka bekerjasama dengan Bersatu.

Bagaimanapun kerjasama antara PH dan Bersatu itu setakat ini masih lagi sekadar desas-desus belum ada kepastian lagi, namun jika ia benar-benar berlaku, Bersatu mungkin boleh meraih sedikit keuntungan ketika PRN berkenaan tetapi jika Bersatu solo seperti mana di Negeri Sembilan…bersedialah untuk hilang deposit lagi.

Apapun pertembungan di Melaka menarik kerana ia bagaikan gelanggang mahu menentukan siapa akan bergabung dengan siapa pada PRU-16 nanti. Apakah UMNO akan bersama dengan Pas? Adakah PH akan mencapai persefahaman dengan Bersatu seperti mana di Selangor? Adakah Wawasan akan mengulangi sejarah kemenangan dengan ‘menumpang’ Pas sepertimana di Negeri Sembilan? Sama-sama kita tunggu…yang pasti dalam politik segalanya berkemungkinan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here