Hidup mewah di negara Arab selepas larikan diri, pasport menantu Muhyiddin dibatalkan, waran tangkap dikeluarkan

PatPASPORT  antarabangsa menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu dibuat atas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap ahli perniagaan yang juga individu dikehendaki, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.

“Perkara pertama yang saya semak ialah sama ada terdapat permohonan daripada SPRM untuk membatalkan pasport individu tersebut. Jawapannya, ada. Maka tindakan itu tidak bercanggah dengan apa-apa peraturan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Oktober dan Sambutan Hari Inovasi 2025 Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, hari ini.

Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan gambar sebelum melarikan diri.

Adlan, 49, meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.

Peguamnya, Mansoor Saat, 70, turut melarikan diri. Beliau meninggalkan negara ini menuju ke Jakarta empat hari selepas Adlan dan sejak itu tidak kembali.

Mansoor juga berdepan tuduhan pecah amanah yang berkaitan dengan projek National Enforcement and Registration (Biometrics) System (NERS), yang dibiayai melalui kemudahan sukuk bernilai RM595 juta.

Projek NERS bertujuan meningkatkan keselamatan negara melalui pengumpulan data biometrik. Namun, siasatan mendapati hampir RM50 juta hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) — yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik sukuk — telah diselewengkan.

Siasatan SPRM mengenal pasti Adlan dan Mansoor sebagai individu yang dipercayai terbabit dalam kes itu, yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Kedua-duanya sebelum ini mengeluarkan kenyataan melalui peguam masing-masing menafikan bahawa mereka melarikan diri bagi mengelak pendakwaan.

Mengulas lanjut Saifuddin memberitahu, notis pemakluman bagi memasukkan nama individu itu ke dalam senarai Interpol (Polis Antarabangsa) turut dibuat oleh SPRM seperti disahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau menjelaskan isu kebebasan pergerakan individu tersebut di luar negara berkait rapat dengan dokumen perjalanan yang digunakan.

“Kalau seseorang rakyat Malaysia bergerak ke luar negara, dia mestilah menggunakan pasport yang sah. Dalam kes ini, pasportnya sudah dibatalkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan dua agensi di bawah KDN Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia akan bekerjasama rapat bagi memudahkan tindakan lanjut terhadap individu yang dikehendaki itu.

“Saya akan mendapatkan maklumat lengkap daripada semua pihak autoriti di bawah KDN, termasuk Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban. Keutamaan kami kini ialah bagaimana kedua-dua agensi ini boleh memfasilitasi proses membawa pulang individu berkenaan bagi tujuan siasatan SPRM,” jelasnya.

Sementara itu Mohd Khalid  mengesahkan bahawa waran tangkap terhadap Adlan telah dikeluarkan dan tindakan susulan kini sedang dijalankan bersama pihak berkuasa luar negara.

“Tapi apa pun, semua sedia maklum bahawa beliau berada di luar negara. Kita telah mengeluarkan waran tangkap sebelum ini.

“Jadi, terdapat tindakan-tindakan yang sedang kita laksanakan dan memerlukan bantuan daripada negara yang berkaitan. Insya-Allah, kita akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya

New Straits Times (NST) dalam laporan eksklusifnya hari ini melaporkan bagaimana dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.

Beberapa gambar yang dikongsi kepada NST menunjukkan Adlan bersama beberapa kenamaan dari Asia Barat. Dalam salah satu gambar tersebut, kelihatan potret seorang pemimpin negara berkenaan.

Sumber memberitahu NST bahawa Adlan kerap keluar masuk negara berkenaan untuk perjalanan ke luar negara, termasuk ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img