POLIS menahan tiga wanita hari ini bagi membantu siasatan kes pemalsuan surat cuti sakit (MC) disyaki digunakan untuk memperdaya majikan di Kota Tinggi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, ketiga-tiga wanita berusia antara 22 hingga 23 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.20 petang.
Katanya, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan sebuah klinik swasta berhubung kegiatan pemalsuan MC jam 2.47 petang, 5 Oktober lalu.
“Siasatan awal mendapati suspek pertama dipercayai membeli sijil cuti sakit palsu sebelum menyerahkan dokumen berkenaan kepada majikannya.
“Suspek kedua pula dipercayai bertindak sebagai orang tengah dengan membantu mendapatkan sijil cuti sakit palsu itu daripada suspek ketiga,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yusof berkata, semakan pihaknya mendapati seorang daripada tiga suspek terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan narkotik.
“Polis percaya penahanan ketiga-tiga suspek ini dapat membantu siasatan terhadap beberapa kes berkaitan pemalsuan dokumen cuti sakit di sekitar daerah Kota Tinggi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen. Mereka ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya





