CUBAAN beberapa individu memecah masuk sebuah rumah di Felda Lok Heng Selatan, Kota Tinggi, gagal selepas mereka disergah menerusi kamera litar tertutup (CCTV) pada jam 4.20 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya mengesan video kejadian yang tular di media sosial kira-kira jam 3 petang semalam.
Katanya, polis turut menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang juga pemilik rumah berkenaan.
“Kes ini masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 453 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, menerusi perkongsian di Facebook Orang Kota Tinggi, wanita berkenaan mendakwa rumah bapanya yang tidak berpenghuni cuba dipecah masuk beberapa individu tidak dikenali.
Menurutnya, mereka menerima notifikasi CCTV mengenai kehadiran individu terbabit lebih awal sebelum bertindak menyergah mereka menerusi mikrofon kamera itu.
“Alhamdulillah, kami dapat notifikasi CCTV kehadiran mereka lebih awal dan sempat sergah mereka melalui mikrofon CCTV menyebabkan semua bertempiaran lari.
“Mohon semua, terutamanya penduduk kawasan sekitar, sentiasa berhati-hati dan lebih peka dengan keadaan sekeliling,” katanya.





