Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur bagi mengesan lelaki yang dipercayai membakar seorang wanita warga emas berusia 62 tahun di sebuah premis nombor ramalan, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, rakaman CCTV di kawasan sekitar sudah diperoleh dan sedang diteliti bagi mengenal pasti pergerakan suspek sebelum dan selepas kejadian.
“Kami sudah mendapatkan rakaman CCTV dan sedang dalam proses menelitinya.
“Identiti suspek dan motif serangan masih dalam siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita warga emas melecur kira-kira 50 peratus selepas disimbah cecair disyaki petrol sebelum dibakar seorang lelaki tidak dikenali di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, pagi semalam.
Jasni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi Sistem Respons Kecemasan Malaysia (MERS) 999 kira-kira jam 8 pagi berhubung kejadian berkenaan.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan susulan kecederaan dialami.
Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif serangan.





