
SEANDAINYA ada pemimpin Bersatu bertepuk, seandainya ada pemimpin Pas menuding jari dan seandainya ada pemimpin Wawasan yang marah disebabkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) secara rasmi dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Malaysia (RoS), mereka hakikatnya ibarat ‘meludah ke langit’’.
Tidak perlulah membuang masa menyalahkan apatah lagi mahu menuding jari antara satu sama lain. PN dibatalkan disebabkan kegagalan pemimpin gabungan itu menyelesaikan masalah antara mereka.
Sama ada Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Wawasan Datuk Seri Hamzah Zainuddin – semua mereka ‘ada saham’ terhadap kejatuhan PN. Kekalutan dalam gabungan sendiripun tidak mampu dikawal, masalah antara sendiri pun kelam kabut..itupun masing-masing ada hati mahu memerintah negara.
Sesungguhnya apa yang berlaku memalukan.Daripada sebuah perikatan yang pernah memimpin negara, dari sebuah perikatan yang digeruni, kini PN ‘tersungkur’ akibat perbalahan dalaman. Bermula dengan pemecatan satu demi satu pemimpin Bersatu, ia kemudiannnya merebak ke PN apabila tertubuhnya Wawasan.
Keadaan menjadi bertambah parah dengan sikap yang berleluasa seperti mahu menjadi ‘taiko’ atau abang besar, tidak pandai ‘menjaga mulut,’ menjadi ‘batu api’, merasakan dia saja layak jadi PM, mengganggap hanya dia paling sesuai jadi PM.
Itu belum lagi mengambil kira keputusan PN boleh ‘diveto’ oleh pemimpin yang tiadapun dalam Majlis Presiden.
Bayangkanlah belum dapat kuasa pun PN sudah ‘huru-hara’ dan kacau bilau, bergaduh sesama sendiri. Semua itu berlaku kerana kepimpinan utama parti dalam PN gagal memainkan peranan mereka untuk mengawal situasi.
Muhyiddin, Abdul Hadi dan Hamzah wajar dipersalahkan, begitu juga Pengerusi PN Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar yang penulis sifatkan ‘pengerusi paling berhemah’ – bercakap pun tidak, bertindak pun kurang.
Mungkin Ahmad Samsuri berada dalam kedudukan serba salah kerana beliau tidak seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menguasai secara total PKR dan PH, Ahmad Samsuri tidak seperti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memimpin UMNO dan menerajui Barisan Nasional (BN) sepenuhnya.
Ahmad Samsuri bukan Presiden parti seperti Anwar, Ahmad Zahid dan Hamzah, sebaliknya beliau hanya Naib Presiden Pas – hieraki ketiga dalam parti. Di atas beliau ada Abdul Hadi sebagai Presiden dan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang. Malah Ahmad Samsuri juga tidak setaraf dengan Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu, bekas Perdana Menteri dan bekas Pengerusi PN.
Paling mendukacitakan, sebagai Pengerusi PN sepatutnya Ahmad Samsuri menjadi Ketua Pembangkang tetapi Ahmad Samsuri sekadar duduk di sebelah Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat kerana jawatan itu disandang oleh Hamzah – ketua sebuah parti yang baru ditubuhkan beberapa bulan.
Abdul Hadi dan Hamzah dilihat lebih menonjol dalam PN. Abdul Hadi sendiri bagaikan ‘Pengerusi bayangan’ PN…kenyataan beliau dilihat mendahului Pengerusi PN. Kesudahannya memandangkan Pas adalah parti dominan dalam PN, maka orang melihat Abdul Hadi lebih dominan daripada Menteri Besar Terengganu itu.
Hamzah pula sebagai Ketua Pembangkang, dianggap oleh pemerhati politik mahu menonjolkan diri sebagai individu paling layak untuk menjadi ‘poster boy’ kepada PN. Mungkin itu hanya persepsi tetapi itulah pandangan orang.
Penulis sama sekali tidak menafikan pemikiran strategis yang ada kepada Hamzah, tetapi beliau sepatutnya lebih memberi ruang kepada Ahmad Samsuri.
Mengenai Muhyiddin, penulis tidak salahkan beliau atas apa yang berlaku dalam Bersatu, malah penulis juga berpendapat, tidak salah untuk beliau atau orang-orangnya menyimpan cita-cita untuk melihat Ahli Parlimen Pagoh itu menjadi Perdana Menteri sekali lagi…dari segi pengalaman memang beliau layak.
Tetapi masalahnya, Muhyiddin dilihat gagal menguruskan Bersatu sehingga berlaku pemecatan demi pemecatan. Bersatu kini dilihat ‘hidup segan mati tidak mahu’ di banyak negeri. Lebih teruk lagi, terdapat beberapa individu yang menjadi ‘makhluk perosak’ kepada Bersatu dan seterusnya membawa ‘virus’ itu ke PN sehingga akhirnya PN dibatalkan pendaftarannya.
Sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh diperkatakan atau disenaraikan bagi menggambarkan betapa huru-haranya PN – yang kini hanya tinggal nama dan kenangan dalam FB . Agak melucukan ketika pemimpin PN tidak kiralah daripada Pas, Bersatu mahupun Wawasan begitu lantang mengkritik kepimpinan negara dalam pelbagai perkara, mereka sendiri tidak bijak menguruskan masalah dalam PN.
Akhirnya PN ‘dtahlilkan’, ‘dikafankan’ dan bakal dikuburkan tanpa nesan akibat kesilapan pemimpinnya sendiri. Semua pemimpin PN bersalah, Semua parti dalam PN bertanggungjawab.
Kini dengan keputusan RoS, tidak perlulah lagi Bersatu menyerang Pas, tidak payah lagi Pas menyalahkan Bersatu dan tiada sebab lagi untuk Wawasan menuding jari kepada orang lain. Masing-masing boleh membawa haluan sendiri.
Penulis percaya kekuatan Pas sama sekali tidak akan tergugat dengan apa yang berlaku. Pas tidak seperti Wawasan atau Bersatu yang memerlukan kekuatan orang lain untuk menang pilihan raya, cuma dengan apa yang terjadi dalam PN, standard Pas hanya sekadar boleh memerintah negeri sahaja seperti mana mereka menguruskan Perlis,Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Manakala Wawasan pula perlu menjadikan apa yang berlaku dalam PN sebagai pengajaran, biarpun pemimpin-pemimpin dianggap hebat kerana mempunyai pengalaman dalam parti dan kerajaan tetapi apabila bergabung dengan parti yang lebih besar, pandai-pandailah membawa diri.
Ia memandangkan Wawasan amat memerlukan Pas dan Wawasan sama sekali tidak akan mampu bertanding secara solo, Wawasan boleh meneruskan kerjasama dengan Pas tetapi biarlah kali ini Pas yang menjadi Ketua Pembangkang kerana PN sudah tiada – berilah penghormatan kepada parti yang mempunyai kerusi terbanyak menduduki jawatan tersebut.
Untuk Bérsatu, penulis berpendapat, kerjasama dengan PH di Selangor boleh diteruskan ke seluruh negara tetapi janganlah ada yang bercita-cita mahu menjad PM lagi. Dan Bersatu kawal lah sikit watak ‘makhluk perosak’ dalam parti itu.
Kesimpulannya, pemimpin PN sama ada Pas, Bersatu mahupun Wawasan perlu diterima hakikat bahawa apa yang berlaku membuktikan mereka gagal! Kalau jaga gabungan pun gagal, kalau uruskan masalah sesama sendiri pun gagal….apakah masih layak PN bermimpi mahu menawan Putrajaya? Apakah layak PN menonjolkan mereka alternatif kepada rakyat untuk menggantikan PH?
Setakat hari ini dengan apa yang berlaku…penulis boleh katakan sekadar nak bermimpi silakan sahaja kerana ia percuma…masa depan hanya Allah SWT mahu mengetahui.





