TANPA menghiraukan gencatan senjata yang dilaksanakan di Gaza,Parlimen Israel, Knesset terus melakukan provokasi apabila meluluskan bacaan awal satu rang undang-undang untuk menggabungkan wilayah Palestin yang diduduki, Tebing Barat, ke dalam kedaulatan Israel.
Menurut laporan akhbar harian Yedioth Ahronoth yang dipetik agensi berita Anadolu, rang undang-undang itu diluluskan dengan undian tipis 25-24 dalam bacaan awal bagi “mengaplikasikan kedaulatan ke atas Judea dan Samaria (Tebing Barat)”.
Kenyataan rasmi Knesset menyebut bahawa 25 ahli Parlimen menyokong usul yang dikemukakan oleh Avi Maoz, Ketua parti sayap kanan ekstrem Noam Party, manakala 24 menentangnya. Knesset mempunyai 120 anggota kesemuanya.
Rang undang-undang itu masih perlu melalui tiga lagi bacaan sebelum menjadi undang-undang dan kini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri dan Pertahanan Knesset untuk perbincangan lanjut.
Menteri Keselamatan Negara Israel yang berhaluan kanan ekstrem, Itamar Ben-Gvir, menulis di platform X selepas undian itu: “Masa untuk kedaulatan telah tiba sekarang!”
Dalam perkembangan lain, satu lagi rang undang-undang untuk menggabungkan penempatan Ma’ale Adumim di Baitulmaqdis Timur yang diduduki turut disokong oleh 32 ahli parlimen dan ditentang oleh sembilan, menurut agensi berita rasmi Palestin, WAFA.
Usul tersebut dikemukakan oleh Avigdor Lieberman, Ketua parti Yisrael Beiteinu.
Menurut laporan Al Mayadeen, parti pemerintah Likud pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menolak langkah Knesset itu sebagai tindakan “mengusik” yang boleh menjejaskan hubungan dengan Amerika Syarikat serta pencapaian Israel dalam kempen ketenteraan di Gaza.
“Kami memperkukuh penempatan setiap hari melalui tindakan, bajet, pembinaan, dan industri – bukan sekadar kata-kata,” ujar kenyataan parti itu.
“Kedaulatan sebenar tidak dicapai melalui undang-undang demonstratif, tetapi melalui kerja berterusan di lapangan dan mewujudkan keadaan politik yang sesuai untuk pengiktirafan antarabangsa, sebagaimana dilakukan di Bukit Golan dan Baitulmaqdis.”
Menteri Pendidikan Israel merangkap anggota Likud, Yoav Kisch, turut mempertahankan pendirian kerajaan.
“Saya percaya pada kedaulatan, tetapi ia tidak dicapai melalui inisiatif pembangkang. Kami membinanya setiap hari di lapangan,” katanya.
Undian itu diadakan walaupun Presiden AS Donald Trump bulan lalu menegaskan bahawa beliau “tidak akan membenarkan” Israel menganeksasi (Pengilhakan) Tebing Barat.
Pengilhakan atau aneksasi merupakan tindakan pentadbiran dan konsep undang-undang antarabangsa mengenai pengambilalihan wilayah sesebuah negara berdaulat secara paksa oleh negara lain.
SEMENTARA itu, Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, pada Khamis menegaskan bahawa Trump akan menentang sebarang usaha Israel untuk engilhakan Tebing Barat, sambil menyifatkan langkah terbaru ahli Parlimen Israel ke arah itu sebagai “tindakan politik yang bodoh.”
Ketika ditanya wartawan mengenai perkembangan itu, Vance berkata:
“Jika ini hanya satu gimik politik, maka ia adalah tindakan yang sangat bodoh, dan saya secara peribadi berasa tersinggung dengannya.”
Beliau turut mengulangi bahawa pentadbiran Trump tidak akan membenarkan Israel meneruskan pengilhakan tersebut.
“Tebing Barat tidak akan dipengilhakan oleh Israel. Dasar Presiden Trump ialah Tebing Barat tidak akan dipengilhakan. Itu akan sentiasa menjadi dasar kami,” katanya semasa lawatan ke Israel bagi mengukuhkan gencatan senjata rapuh di Gaza hari ini.
Pada 23 Julai lalu, Knesset turut meluluskan satu usul berasingan untuk menggabungkan Tebing Barat dengan sokongan majoriti 71 daripada 120 anggota parlimen.
Dalam pendapat bersejarahnya pada Julai tahun lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah dan menyeru supaya semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dihapuskan.
UNDILAH |



