KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersetuju dengan cadangan untuk mengembalikan tiga gajah Asia iaitu Dara, Amoi dan Kelat yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji Osaka (ZTO), Jepun.
Menurut kementerian, cadangan itu adalah wajar untuk dipertimbangkan dengan serius oleh Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dengan mengambil kira kepentingan awam serta sensitiviti semasa.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut menggesa pihak pengurusan ZTNS untuk memulakan rundingan dengan ZTO bagi menilai keperluan dan mekanisme untuk membawa pulang gajah-gajah tersebut ke tanah air memandangkan kedua-dua zoo berkenaan adalah pihak yang mempunyai obligasi kontraktual.
“Setelah meneliti memorandum yang dikemukakan, kementerian secara prinsipnya berpandangan bahawa cadangan untuk mengembalikan ketiga-tiga gajah tersebut ke negara ini adalah wajar dipertimbangkan dengan serius,” katanya dalam sidang media khas di kementeriannya di Putrajaya hari ini.
Menurut Arthur, kerjasama perniagaan ke perniagaan (B2B) antara ZTSN dan ZTO terjalin melalui perjanjian dimeterai pada 19 Mei 2022 dan 6 Oktober 2022, namun NRES bukan pihak kepada perjanjian tersebut.
“Berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia dan semak silang dengan ZTNS, kerjasama strategik antara ZTNS dan ZTO telah terjalin melalui perjanjian yang dimeterai pada 19 Mei 2022 di Malaysia yang melibatkan seekor gajah jantan dan perjanjian kedua pada 6 Oktober 2022 di Jepun pula melibatkan dua ekor betina.
“Dalam hubungan ini, saya ingin tegaskan di sini bahawa NRES bukan merupakan pihak dalam perjanjian tersebut dan ketiga-tiga gajah tersebut merupakan aset ZTNS.
“Walaupun keputusan itu dibuat oleh pentadbiran terdahulu, sebagai menteri yang memegang mandat hari ini, saya tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan hidupan liar,” jelas Arthur.
Tegas beliau, sekiranya pelaksanaan perjanjian ini didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi, kebajikan hidupan liar serta sensitiviti semasa, keperluan untuk mengembalikan ketiga-tiga gajah tersebut ke habitat asal perlu dipertimbangkan secara serius dan segera.
“Saya juga memandang serius isu melibatkan kebajikan gajah yang terlibat di bawah perjanjian ini dan telah mengambil tindakan seperti membangkitkan mengenai isu tersebut semasa sesi Kunjungan Hormat Duta Besar Jepun, Noriyuki Shikata ke atas saya pada 13 April lalu,” jelas beliau.
Selain itu katanya, satu pertemuan melibatkan pengurusan tertinggi NRES dan Perhilitan bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping dan pengurusan ZTNS telah diadakan pada 21 April lalu yang antara lain menerangkan mengenai Program Konservasi Gajah kedua-dua pihak.
“Di dalam pertemuan tersebut kita telah memberi beberapa cadangan dan meminta supaya beberapa tindakan diambil serta beberapa penjelasan diberikan secara umum tetapi sehingga ke hari ini tindakan ataupun permintaan dan cadangan itu gagal untuk dipenuhi oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Media pada Jumaat lalu melaporkan sekumpulan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi tempoh tiga hari untuk NRES mengeluarkan kenyataan membawa pulang tiga ekor gajah Asia yang kini ditempatkan di zoo berkenaan sejak 10 Mac lalu.
Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKB), Datuk S Kalai menegaskan, dokumen kesihatan, sejarah dan asal-usul ketiga-tiga gajah berkenaan menunjukkan haiwan itu tinggal di Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah sejak kecil, bukan seperti didakwa berasal dari ZTNS.
Penghantaran itu adalah sebahagian daripada kerjasama dua hala yang dirancang rapi sejak 2022 dan diselaraskan Perhilitan.
Amoi berusia sembilan tahun, Dara (14) dan Kelat (20) dipindahkan sebagai sebahagian daripada Program Konservasi Gajah Malaysia bertujuan untuk pembiakan dan penyelidikan.
Dalam pada itu, Artur tidak menolak kemungkinan penglibatan kerajaan negeri Perak bagi memastikan rundingan dapat dilaksanakan secara rasmi.
“Mungkin selepas ini kita kena angkat sampai ke peringkat kerajaan negeri kerana ZTNS di bawah kerajaan negeri,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang keputusan perlu berasaskan fakta, bukti saintifik serta standard kebajikan haiwan yang diiktiraf.
Ditanya mengenai dana untuk membawa pulang ketiga- tiga gajah berkenaan, Arthur berkata, kementerian bersedia mencari sumber sekiranya diperlukan.
“Atas dasar pemuliharaan dan kepentingan negara, sebagai seorang menteri serta kementerian yang terlibat, kami bersedia untuk mencari dana di pihak kami sekiranya diperlukan bagi membawa pulang gajah-gajah tersebut demi pemuliharaan dan usaha menyelamatkan gajah kita,” katanya.


