Aminuddin akur apa juga keputusan Yang di-Pertuan Besar

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan beliau akan akur terhadap apa juga keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.

Menurut beliau, ketika menghadap Tuanku Muhriz hari ini, baginda menitahkan supaya beliau meneruskan tanggungjawab menyelesaikan masalah rakyat di negeri berkenaan.

“Baginda minta saya teruskan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, selesaikan masalah rakyat supaya tidak mengganggu negeri daripada terus bergerak ke hadapan.

“Saya serahkan kepada perundangan dan kuasa Tuanku. Kalau tiba masanya baginda kata kerajaan setakat ini, maka setakat itu. Saya telah diminta Perdana Menteri untuk teruskan (memimpin kerajaan negeri) sampai satu masa yang sesuai,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri di Seremban hari ini.

Pada Isnin lalu, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin susulan krisis adat yang berlaku ketika ini.

Susulan itu, Aminuddin memaklumkan empat jawatan Exco yang sebelum ini disandang ADUN UMNO-BN dianggap kosong selepas kesemua mereka menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau.

Beliau dilaporkan berkata, pengisian jawatan kosong itu akan dibuat kemudian selepas perbincangan dalam kalangan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri.

Aminuddin berkata, meskipun Mesyuarat Exco hari ini hanya dihadiri enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), urusan pentadbiran negeri tetap berjalan seperti biasa.

Beliau turut memberitahu, mesyuarat berkenaan tidak membincangkan kemelut politik semasa mahupun pengisian empat kekosongan jawatan Exco kerajaan negeri.

“Kita tidak bincang langsung siapa pemangku. Saya cuma sempat bincang program Hari Belia. (Isu pemangku) dalam minggu depan kita akan putuskan,” jelasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memaklumkan Tuanku Muhriz  menitahkan Aminuddin untuk terus menjalankan tugas seperti biasa.

Jelas Anwar, keputusan itu antara yang dinasihatkan Tuanku Muhriz dalam pertemuan bersama baginda.

Selain itu, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa tiada isu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ketika ini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img