Koperasi bermasalah bakal diserah kepada SPRM, PDRM – SKM

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) mengingatkan kepimpinan lebih 16,300 koperasi di seluruh negara agar sentiasa memelihara amanah dan integriti demi mempertahankan kestabilan serta daya saing pergerakan berkenaan.

Pengerusinya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal menegaskan bahawa amalan integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya merupakan tonggak utama yang perlu diterapkan merangkumi tiga peringkat organisasi iaitu pihak pengurusan, Anggota Lembaga Koperasi (ALK) dan ahli koperasi itu sendiri.

LEFTENAN Jeneral (B) Ahmad Norihan Jalal. GAMBAR: SKM

Menurut beliau, ALK memikul tanggungjawab besar dalam memastikan hala tuju strategik perniagaan tidak tersasar akibat tindakan berunsur kepentingan peribadi.

“ALK perlu mempunyai integriti yang tinggi sebab mereka yang membawa secara strategiknya ke mana arah koperasi itu nak dibawa.

“Kalau integriti berpecah dan membuat keputusan hanya berandai-andai kepada perkara yang mungkin tidak sesuai dari segi perniagaan, maka mereka akan buat keputusan yang integritinya boleh dipertikaikan,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Kejohanan Golf “Tee 2 Green 2026 Piala Pengerusi SKM” di Kelab Golf Seri Selangor di Petaling Jaya kelmarin.

Kejohanan golf itu menghimpunkan 120 peserta daripada 27 gabungan koperasi dan agensi dari seluruh negara bagi memantapkan hubungan inter-koperasi.

Dalam pada itu, Ahmad Norihan turut menggesa para anggota koperasi supaya bertindak secara rasional menerusi saluran yang betul dan bukannya merosakkan imej organisasi di platform luar.

“Integriti dari segi menyokong koperasi itu sendiri, bukan untuk memburuk-burukkan koperasi. Sekiranya ada masalah-masalah tertentu, terus maklumkan kepada pihak pengurusan ataupun ahli lembaga koperasi. Nama koperasi itu sendiri adalah komuniti dan dibentuk dalam bentuk demokrasi,” kata beliau.

Ahmad Norihan menambah, penekanan terhadap pembudayaan integriti ini selari dengan visi kerajaan dalam memantapkan tatakelola bersih di semua agensi dan kementerian.

Mengulas aspek penguatkuasaan, SKM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665) mahupun Akta Koperasi 1993 (Akta 502) sekiranya dikesan berlaku ketidakpatuhan.

Beliau turut menyasarkan kes-kes penyelewengan serius untuk dirujuk terus kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sebab kita perlu ingat, Suruhanjaya ini memegang dua perkara. Yang pertama adalah tata kelola, termasuk dalam itu integriti, dan yang keduanya adalah untuk perkembangan koperasi. Jadi dua perkara ini perlu kita timbang wajar dan timbang dengan baik,” ujar beliau.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here