PERKHIDMATAN Ar-Rahnu perlu terus diperkasakan melalui pengurusan berintegriti, pematuhan Syariah dan penggunaan teknologi bagi memastikan sektor itu kekal relevan serta diyakini masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Mohd Marzuki Yasoa’ berkata, kepercayaan pelanggan menjadi tunjang utama kepada kelangsungan sektor berkenaan, terutama apabila ia membabitkan urusan pembiayaan dan penyimpanan barangan berharga.

Menurut beliau, setiap pengendali Ar-Rahnu perlu memastikan urusan dilakukan secara telus, termasuk memberikan penjelasan yang mudah difahami berhubung penilaian barang gadaian, kadar upah simpan dan syarat pembiayaan.
“Kepatuhan Syariah mesti dipelihara dengan teliti, mulai daripada penilaian barang gadaian, penetapan kadar upah simpan hingga kepada layanan kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan cawangan kedua KopTown Ar-Rahnu milik Koperasi Tenaga Nasional Berhad (Koperasi TNB) di TTDI Jaya semalam.
Mohd Marzuki berkata, pengembangan sektor itu perlu disokong sistem kawalan dalaman yang berkesan, audit berkala serta pematuhan terhadap undang-undang dan garis panduan bagi memastikan operasi koperasi diurus secara profesional.
Katanya, kegagalan mengurus risiko dengan baik bukan sahaja boleh menjejaskan kedudukan aset koperasi, malah berpotensi menghakis keyakinan pelanggan yang dibina selama bertahun-tahun.
“Pengurusan risiko yang lemah boleh menjejaskan aset koperasi dan, lebih penting lagi, menghakis amanah yang telah dibina bertahun-tahun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa pengendali Ar-Rahnu mempercepat penggunaan teknologi dan sistem digital bagi menambah baik mutu perkhidmatan serta memudahkan urusan pelanggan.
Menurutnya, pendigitalan mampu mempercepat proses kerja, mengurangkan kesilapan dan membantu mengawal kos operasi, selain membolehkan koperasi memenuhi keperluan pengguna yang semakin berubah.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan teknologi perlu disertai latihan mencukupi kepada kakitangan serta langkah perlindungan data bagi mengelakkan timbulnya risiko baharu.
Beliau turut mengingatkan koperasi supaya tidak mengetepikan matlamat asal penubuhannya dalam usaha mengembangkan perniagaan, sebaliknya terus memberi keutamaan kepada kebajikan anggota dan kesejahteraan masyarakat.
“Koperasi ditubuhkan bukan semata-mata untuk mencari keuntungan, tetapi untuk memperbaiki taraf hidup anggotanya,” katanya.
Jelas beliau, kemudahan Ar-Rahnu sewajarnya menjadi pilihan bagi membantu masyarakat memenuhi keperluan kewangan mendesak secara berhemah, di samping memastikan model perniagaan yang dilaksanakan mampu bertahan untuk jangka panjang.
Pembukaan cawangan baharu KopTown Ar-Rahnu di TTDI Jaya mencerminkan usaha Koperasi TNB memperluas akses masyarakat kepada perkhidmatan berkenaan.
Koperasi itu turut mencatat pencapaian apabila menduduki tempat ketiga dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2026.
Sehubungan itu, Mohd Marzuki menekankan kepentingan mengimbangi peluasan akses pembiayaan dengan pematuhan Syariah, perlindungan kepentingan pelanggan dan pengurusan risiko bagi memastikan sektor Ar-Rahnu terus berkembang secara mampan.





