SEORANG pengawal keselamatan maut selepas motosikal ditungganginya dihempap pokok tumbang ketika melalui jalan Kampung Ayer Lanas, Jeli, pagi tadi.
Mangsa, Mohd Alia Sabri Mat Repin, 40, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.05 pagi.
Menurutnya, seramai 10 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi dan mendapati mangsa berada di bawah pokok berkenaan dalam keadaan sudah meninggal dunia.
“Difahamkan mangsa bekerja di Politeknik Jeli dan ketika kejadian, dia yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Bukit Bunga.
“Menerusi rakaman papan pemuka daripada pengguna jalan raya, sebaik mangsa tiba di lokasi, pokok itu tumbang dan terus menghempap mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor BH.
Mohd Adni berkata, anggota bomba memotong pokok menggunakan gergaji berantai dengan bantuan anggota Jabatan Pertahanan Awam bagi mengeluarkan mangsa.
Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Jeli untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kerja memotong pokok yang menghalang jalan raya itu mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum kawasan berkenaan dibersihkan.





