SEORANG pengawal keselamatan maut apabila motosikal ditungganginya terbabas dan hilang kawalan selepas melanggar seekor anjing yang melintas secara tiba-tiba di Jalan Londang, Masjid Tanah malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.35 malam itu, mangsa, Mohd Azhar Mohd Noor, 43, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah pekan Masjid Tanah menghala ke Londang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai telah melanggar seekor anjing yang melintas jalan secara tiba-tiba sebelum terbabas.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati jalan berkenaan merupakan jalan satu lorong dua hala dengan permukaan jalan kering, cuaca baik serta kawasan kejadian berada dalam keadaan gelap namun mempunyai lampu jalan.
Katanya, turut ditemukan bangkai seekor anjing di tepi jalan berhampiran lokasi kejadian.
“Motosikal terlibat telah dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah dan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Loh Gia Xao.


