Kes bunuh isteri : Polis mohon sambung reman suspek

POLIS akan memohon lanjutan reman terhadap lelaki yang disyaki membunuh isterinya, seorang pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), di Kuarters KLIA, Nilai, pada 15 Oktober lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata tempoh reman pertama suspek berusia lingkungan 30-an itu dijadualkan tamat esok.

“Berdasarkan perkembangan semasa siasatan, pihak kami akan menyambung tempoh reman dan permohonan akan dibuat di Mahkamah Majistret esok,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Buletin TV3.

Tempoh reman lelaki itu bermula pada 16 Oktober lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, dilaporkan berkata kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan hari ini untuk tindakan dan arahan selanjutnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam pada 15 Oktober lalu, seorang wanita dilaporkan maut selepas disyaki dibunuh suaminya yang baru dibebaskan dari penjara selepas menjalani hukuman berkaitan kesalahan dadah.

Suspek kemudian dilaporkan menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor, dan memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa ialah tekanan pada leher, selain terdapat kesan tikaman pada bahagian perut dan pipi.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here