SEMBILAN individu yang didakwa menganggotai Geng Suria dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang antara Disember 2024 hingga April tahun ini.
Kesemua tertuduh, Thayalan, 28; Muhamad Rizwan Abd Jalil, 28; B Saranraj, 38; G Suria Prasad, 30; Kavines, 31; A Tana Balan, 30; G Sritharan, 39; A Simon, 34; dan A Suresh, 52, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim dan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Suria di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Sekerat, Pekan Lama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan dan Mohd Fakhrulrazi Ahmad Salim. Lima tertuduh diwakili peguam S Sagthiyaraj dan Mohammad Naim Kamaruddin, manakala empat lagi tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap semua tertuduh berikutan kes berkenaan turut disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Mahkamah menetapkan 17 November ini untuk sebutan semula dan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi, lapor BH.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, memaklumkan polis menumpaskan Geng Suria menerusi Op Sunset yang dijalankan di Kedah dan Perak dari 24 hingga 27 September lalu.
Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai aktif melakukan samun bersenjata sejak awal 2024 dengan menyasarkan kediaman warga asing, premis perniagaan serta rumah yang dikenal pasti ketua kumpulan.
Menurutnya, Geng Suria dikenal pasti terbabit dalam 20 kes jenayah harta benda dan kekerasan, termasuk rompakan berkumpulan menggunakan senjata sehingga menyebabkan kecederaan di Kedah.
Polis menahan enam suspek berusia antara 28 hingga 39 tahun dalam operasi berkenaan dan mereka ditahan mengikut SOSMA sehingga 25 Oktober 2026.





