SERAMAI 43 pekerja kilang, termasuk warga Indonesia dan Filipina, dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM9,000 selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu serta salinan kad pengenalan milik orang lain di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Mereka yang terdiri daripada 30 wanita dan 13 lelaki berusia antara 18 hingga 49 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurzihan Abdul Rehman, A Shaarmini dan Atifah Hazimah Wahab.
Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara antara satu hingga enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, 35 tertuduh didakwa menggunakan salinan kad pengenalan milik orang lain sebagai dokumen pengenalan diri, manakala lapan lagi menggunakan kad pengenalan palsu.
Kesalahan itu dilakukan di dua kilang berasingan di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang dan Kawasan Perindustrian MIEL, kira-kira jam 10 pagi dan 8 malam kelmarin.
Semua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd Ramzi Adnan, Md Shahedan Md Taib dan Noorleelawathi Man, manakala 10 tertuduh diwakili peguam termasuk Rashidah Baharom, Muhd Akmal Mazlan, Heng Wang Qianwei dan Jackson Danial, lapor BH.
Sebelum ini, JPN dilaporkan mengesan kegiatan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri milik orang lain bagi mendapatkan pekerjaan dalam kalangan pekerja asing menerusi Ops Jejak 1.0 dan Ops Jejak 2.0 di kilang berkenaan kelmarin.





