POLIS menumpaskan dua sindiket penipuan dalam serbuan berasingan di Melaka, termasuk kegiatan penipuan cinta dan pinjaman tidak wujud yang beroperasi dari sebuah banglo mewah dalam kawasan resort, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, seramai 15 lelaki warga asing berusia 21 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan pada jam 3 petang itu, membabitkan 14 warga Vietnam dan seorang warga China.
Siasatan awal mendapati banglo dua tingkat berkenaan dijadikan pusat panggilan sejak awal bulan ini bagi memperdaya mangsa di Vietnam dengan menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan.
“Pemeriksaan menemui 11 set komputer pelbagai jenama, 24 telefon bimbit, alat kawalan jauh, alat penterjemah dan 15 pasport.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM43,400, manakala setiap suspek dipercayai menerima bayaran kira-kira RM2,500 untuk menjalankan kegiatan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hari ini, lapor Buletin TV3.
Kesemua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Dalam perkembangan berasingan, polis menahan 14 warga China dalam serbuan di empat bilik sebuah hotel sekitar Melaka Raya, Selasa lalu, yang dipercayai dijadikan pusat operasi sindiket penipuan pelaburan dalam talian.
Halim berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak pertengahan September lalu dengan menyasarkan warga China, manakala setiap suspek dipercayai dibayar RM3,000 untuk menjalankan kegiatan berkenaan.
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita berusia antara 21 hingga 55 tahun.
“Antara barangan dirampas ialah 28 telefon bimbit pelbagai jenama, empat komputer riba, sebuah tablet, alat penterjemah, lima unit telefon bimbit, 96 kad SIM prabayar dan wang tunai RM6,400.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM47,500. Kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.
Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap panggilan daripada individu tidak dikenali, khususnya yang meminta maklumat peribadi atau perbankan serta mengarahkan transaksi kewangan.





