MALAYSIA menggesa agar harta intelek diiktiraf sebagai aset yang diterima oleh institusi kewangan (bankable asset) dan mewujudkan kerangka jelas bagi mengawal selia penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang bertanggungjawab, sebagai sebahagian daripada tiga cadangan untuk memperkukuh ekonomi kreatif global.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata cadangan itu dikemukakan semasa intervensi beliau pada Persidangan Dunia Ekonomi Kreatif (WCCE) kelima di Jakarta hari ini.
“Kami mengesyorkan tiga perkara kepada mesyuarat ini. Pertama, harta intelek hendaklah diiktiraf sebagai aset boleh dibankkan. Kedua, kemahiran kreatif dibangunkan seiring dengan kemahiran digital. Ketiga, kerangka yang jelas untuk mengawal selia penggunaan AI secara bertanggungjawab dalam karya kreatif, dengan memastikan pengkarya manusia kekal sebagai tumpuan utama,” katanya.
Fahmi berkata tiga lagi bidang dikenal pasti untuk kerjasama antarabangsa yang lebih erat, bermula dengan penerbitan bersama yang dapat membantu mengembangkan ekonomi kreatif dengan menarik pelaburan, membangunkan bakat tempatan dan membawa kandungan kreatif ke pasaran antarabangsa yang lebih luas.
Bidang kedua, katanya, melibatkan mobiliti dan pertukaran bakat kreatif menerusi latihan bersama, program penempatan dan pertukaran, yang membolehkan golongan profesional belajar antara satu sama lain, membina rangkaian dan mengembangkan idea untuk kerjasama jangka panjang.
“Ketiga, berkongsi data dan kaedah pengukuran supaya ekonomi kreatif dihitung secara wajar dalam perakaunan negara. Pemahaman yang lebih jelas tentang sumbangannya terhadap peluang pekerjaan, pendapatan dan pertumbuhan akan membantu kita merangka dasar yang lebih baik dan memberikan alasan yang lebih kukuh untuk pelaburan dalam sektor ini,” katanya.
Fahmi turut mengetengahkan cabaran bersama yang dihadapi industri kreatif, sambil menambah bahawa pengkarya lazimnya menyediakan perkhidmatan pengeluaran sedangkan pemilikan harta intelek dan nilai komersialnya kekal di tempat lain.
“Perusahaan kreatif, yang aset utamanya tidak ketara, masih berdepan dengan kesukaran untuk mengakses pembiayaan, manakala AI generatif pula menimbulkan persoalan mendesak tentang hak cipta, ganjaran yang adil dan keaslian budaya,” katanya.
Berkongsi pendekatan dilakukan Malaysia, Fahmi berkata negara kini sedang beralih ke tahap nilai rantaian yang lebih tinggi, daripada menghasilkan kandungan kepada memiliki dan mengkomersialkan harta intelek.
Beliau berkata Kementerian Komunikasi dan agensinya memperkenalkan dana penerbitan bersama dan geran padanan, memperkukuh pembangunan bakat serta sedang merangka Dasar Filem Negara dan Dasar Muzik Negara.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030), Fahmi berkata ekonomi jingga telah dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan baharu, dengan industri budaya dan kreatif negara menyumbang 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2024, menjana eksport bernilai RM63 bilion dan menyokong lebih 760,000 peluang pekerjaan.
“Bagi menyelaraskan aspirasi ini dengan tadbir urus yang mantap, Malaysia baru sahaja menubuhkan Majlis Ekonomi Jingga pada peringkat tertinggi kerajaan. Majlis itu akan menjadi badan induk yang menerajui ekosistem kreatif negara, daripada filem dan muzik sehinggalah animasi, permainan dan e-sukan.
“Majlis itu juga akan menasihati kerajaan dalam merancang, melaksanakan dan memantau sektor berkenaan, dengan penglibatan industri dan Kementerian Komunikasi bertindak sebagai urus setia,” katanya.
Fahmi juga memuji Indonesia atas inisiatif menganjurkan WCCE di Bali pada 2018 dan mengekalkan platform itu bagi membolehkan kerajaan, organisasi antarabangsa dan pengkarya membentuk masa depan ekonomi kreatif.
Beliau berkata Malaysia, yang menyertai mesyuarat peringkat menteri itu buat kali pertama, menyambut baik inisiatif tersebut dan berharap dapat menyumbang secara aktif dalam proses WCCE.
“Sumber semula jadi negara akan kehabisan satu hari nanti, namun kreativiti tidak pernah akan padam. Sebagai peserta baharu dalam proses ini, Malaysia berharap dapat mempelajari pengalaman yang dikongsi dalam mesyuarat ini dan meneroka peluang kerjasama dengan Indonesia dan negara peserta yang lain,” katanya.





