SG4 Group Sdn. Bhd. akan menganjurkan SG4 Business & Economic Forum 2026 pada 26 Oktober ini di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dalam landskap ekonomi serta pelaburan nasional dan antarabangsa.
Pengerusi SG4 Group Sdn. Bhd, Prof.Dr Haim Hilman Abdullah berkata, bertemakan “Four States. One Economic Vision”, forum ini mencerminkan aspirasi besar SG4 untuk membangunkan sebuah wilayah ekonomi yang lebih bersepadu, berdaya saing dan berorientasikan masa hadapan, dengan mengoptimumkan kekuatan, sumber, keupayaan industri dan potensi strategik keempat-empat negeri.
‘’SG4 bukan sekadar kerjasama antara empat negeri, tetapi suatu gagasan ekonomi yang berhasrat mentransformasikan potensi wilayah kepada kekuatan ekonomi sebenar.
‘’Dengan kedudukan geografi yang strategik, kekayaan sumber semula jadi, pembangunan kawasan perindustrian, potensi mineral kritikal, ekosistem semikonduktor serta kekuatan sektor pertanian, pelancongan dan perusahaan tempatan, SG4 mempunyai asas yang signifikan untuk muncul sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi baharu Malaysia’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pendekatan SG4 adalah untuk menghubungkan kelebihan setiap negeri dalam satu ekosistem ekonomi yang saling melengkapi.
‘’Melalui penyelarasan keutamaan pembangunan, pengukuhan rantaian bekalan, perkongsian kepakaran serta kerjasama pelaburan, SG4 berhasrat mewujudkan skala ekonomi yang lebih besar dan meningkatkan daya tarikan wilayah ini kepada pelabur domestik dan antarabangsa.
‘’Keutamaan kami bukan semata-mata menarik pelaburan, tetapi memastikan setiap pelaburan menghasilkan nilai ekonomi yang berkekalan, mewujudkan pekerjaan berkualiti, memperkasa perusahaan tempatan serta meningkatkan kesejahteraan rakya,’’ katanya.
Dr.Haim Hilman berkata, dalam persekitaran ekonomi global yang semakin kompleks, dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik, perubahan rantaian bekalan, persaingan teknologi dan peralihan kepada ekonomi rendah karbon, SG4 melihat keperluan untuk membangunkan model pertumbuhan yang lebih tangkas, berdaya tahan dan berpandangan jauh.
Sehubungan itu, kata beliau, SG4 Business & Economic Forum 2026 akan menjadi platform penting yang menghimpunkan kepimpinan kerajaan, wakil diplomatik, pelabur institusi, pemimpin korporat, pakar ekonomi, institusi kewangan, pemain industri serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meneroka peluang kerjasama ekonomi yang lebih luas.
‘’Forum ini akan memberi tumpuan kepada beberapa agenda strategik, termasuk prospek pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran global yang mencabar, pembiayaan mampan, pembangunan industri semikonduktor, penerokaan potensi mineral kritikal serta strategi memperkukuh daya saing dan pengembangan PKS,’’ katanya.
Menurut Dr.Haim Hilman, lebih penting, forum itu dihasratkan menjadi pemangkin kepada pembentukan jaringan pelaburan, perkongsian strategik dan kerjasama komersial yang mampu diterjemahkan kepada projek serta aktiviti ekonomi yang berimpak tinggi.
‘’SG4 mahu beralih daripada pendekatan pembangunan yang bergerak secara berasingan kepada suatu kerangka kerjasama ekonomi wilayah yang lebih tersusun, progresif dan berorientasikan hasil.
‘’Visi jangka panjang kami adalah untuk menjadikan SG4 sebuah destinasi pelaburan yang diyakini, hab pertumbuhan industri bernilai tinggi serta pusat pembangunan bakat dan keusahawanan yang mampu bersaing dalam ekonomi global,’’ katanya.
Dalam merealisasikan aspirasi tersebut, kata beliau SG4 Group Sdn. Bhd. akan terus memberikan penekanan kepada tadbir urus korporat yang profesional, kerjasama strategik dengan sektor swasta, pembangunan projek yang berdaya maju secara komersial serta pelaksanaan inisiatif ekonomi yang mempunyai impak jelas dan boleh diukur.
‘’Kami turut meletakkan pembangunan modal insan, pemerkasaan usahawan tempatan dan penyertaan generasi muda dalam sektor ekonomi masa hadapan sebagai komponen penting agenda transformasi SG4,’’ katanya.
Beliau berkata, kejayaan sebenar pembangunan ekonomi bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan yang berjaya ditarik, tetapi melalui sejauh mana pertumbuhan tersebut mampu mencipta peluang, meningkatkan pendapatan dan membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat.
‘’Justeru, saya ingin mengundang para pelabur, pemimpin industri, institusi kewangan, komuniti perniagaan serta rakan strategik dari dalam dan luar negara untuk bersama-sama menjayakan SG4 Business & Economic Forum 2026.
‘’Kami membuka ruang seluas-luasnya kepada kerjasama yang berasaskan keyakinan, kepentingan bersama dan komitmen jangka panjang. SG4 bersedia untuk membina masa depan ekonomi yang lebih besar,’’ katanya.
Menurut Dr.Haim Hilman, SG4 bukan sekadar menawarkan potensi, tetapi beriltizam untuk menterjemahkan potensi tersebut kepada peluang pelaburan, pertumbuhan perniagaan dan kemakmuran yang dapat dinikmati bersama.
‘’Inilah semangat yang mendasari SG4 Business & Economic Forum 2026 — menyatukan kekuatan empat negeri, membina keyakinan pelabur dan mencorakkan sebuah wilayah ekonomi yang lebih dinamik, kompetitif serta berpengaruh,’’ katanya.





