SEORANG arkitek bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang lelaki berusia 18 tahun di bilik sauna sebuah gimnasium, Ahad lalu.
Tertuduh, Datuk Saiful Anuar Abdul Aziz, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Ain Ariffin, lapor BH.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan memegang beberapa bahagian badannya dengan niat mencabul kehormatannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 7.10 malam, 18 Oktober lalu, di bilik sauna sebuah gimnasium dalam pusat beli-belah berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M Ramanathan Alias Ashwin memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam K Theivaendran yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya menanggung ibu berusia 89 tahun yang uzur serta adiknya.
Beliau turut membantah permohonan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah kerana anak guamnya mempunyai beberapa projek di luar negara, termasuk di Riyadh.
“Saya membantah permohonan pihak pendakwaan untuk tertuduh menyerahkan pasport kerana anak guam mempunyai projek-projek di luar negara termasuk di Riyadh, namun tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri,” katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah alasan itu dengan menyatakan urusan kerja tertuduh di luar negara menimbulkan risiko dia melarikan diri. Pendakwaan turut memohon supaya tarikh prosiding mahkamah diberi keutamaan berbanding urusan projek dan peribadi tertuduh.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 November ini.
Sebelum ini, polis dilaporkan menjalankan siasatan selepas seorang pegawai kanan polis menahan lelaki berusia 61 tahun itu yang didakwa mencabul anak lelakinya di sebuah gimnasium di Melawati.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berada di gimnasium berkenaan bersama rakannya.





