PERIKATAN Nasional (PN) didakwa tidak lagi berfungsi seperti dahulu, malah kemungkinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak boleh diketepikan.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Azmil Mod Tayeb dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, gabungan itu kini berdepan perubahan landskap politik apabila proses membuat keputusan dan pengagihan kerusi didakwa tidak lagi melibatkan Bersatu seperti sebelumnya.

Menurutnya, parti Melayu dalam PN ketika ini hanya melibatkan Pas dan Wawasan, menyebabkan pengagihan kerusi majoriti Melayu perlu dirundingkan antara kedua-dua parti berkenaan.
Beliau berkata, hubungan antara Bersatu dan UMNO yang disifatkan sebagai permusuhan politik turut menyukarkan kedua-dua parti mencapai kompromi dalam rundingan kerusi.
“PN boleh bersaing secara kompetitif jika ada muafakat dengan UMNO dalam pengagihan kerusi. Besar kemungkinan Bersatu akan bertanding solo seperti di Johor dan Negeri Sembilan,” katanya kepada utusanmelayuplus.
Mengulas kemungkinan PN bergerak tanpa Bersatu, Azmil berkata, keadaan itu tidak semestinya menjejaskan kemampuan gabungan berkenaan untuk bersaing sekiranya rundingan dengan UMNO dapat dilakukan dengan baik.
“Saya melihat ini tidak menjadi masalah jika PN tanpa Bersatu mampu berunding dengan baik bersama UMNO untuk bertanding sebagai satu gabungan baharu,” katanya.





