LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) dan ProSignal Konsortium Sdn. Bhd. perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung masalah yang dibangkitkan pengguna terhadap aplikasi navigasi tempatan, TuJu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penjelasan itu perlu merangkumi punca masalah teknikal, prestasi semasa aplikasi serta langkah penyelesaian dan penambahbaikan yang sedang atau akan dilaksanakan.
“LLM telah diminta menyelaras mesyuarat antara ketua setiausaha beberapa kementerian bagi meneliti penggunaan aplikasi navigasi, termasuk aplikasi tempatan, selain memastikan aplikasi Waze tidak lagi digunakan, khususnya dalam kalangan penjawat awam.
“Mesyuarat itu turut meneliti penjelasan daripada LLM dan ProSignal Konsortium Sdn. Bhd. mengenai aspek teknikal, keberkesanan fungsi, pengalaman pengguna serta pelan penambahbaikan yang mempunyai sasaran dan garis masa jelas,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, hari ini.
Fahmi berkata, aplikasi TUJU dibangunkan oleh ProSignal Konsortium Sdn. Bhd. susulan memorandum persefahaman yang ditandatangani bersama LLM pada 26 Mei 2022, sebelum dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pada 26 November 2025.
Beliau berkata, LLM mengakui terdapat masalah yang dihadapi pengguna dan memaklumkan usaha menambah baik aplikasi itu sedang dilaksanakan.
Sehubungan itu, beliau meminta media mengemukakan soalan lanjut mengenai aplikasi TUJU kepada Menteri Kerja Raya kerana pembangunan aplikasi berkenaan berada di bawah bidang kuasa kementerian itu.
“Kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan pelbagai aplikasi navigasi alternatif, termasuk aplikasi tempatan, selain tidak menggunakan Waze atas faktor keselamatan yang dimaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kita tidak hanya menuju satu aplikasi tertentu, tetapi boleh menggunakan pelbagai aplikasi navigasi alternatif selain Waze,” katanya.





