BEKAS pengarah syarikat perisian dan teknologi maklumat, Datuk Seri Liew Kok Leong, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pecah amanah dana syarikat berjumlah RM5.5 juta dan pengubahan wang haram RM403,000 pada 2019.
Kok Leong membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad dan Suzana Hussin.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Kok Leong yang ketika itu merupakan pengarah ARB Development Sdn Bhd didakwa menyalahgunakan dana syarikat berjumlah RM5.5 juta yang diamanahkan kepadanya bagi tujuan membeli 51 peratus ekuiti, bersamaan 255,000 unit saham biasa, dalam C&M Renewable Energy Technology Sdn Bhd.
Sebaliknya, dia didakwa memindahkan wang berkenaan ke akaun sebuah firma guaman sebelum wang itu dipindahkan ke akaun bank milik Er Yan Shuen, 55, kononnya bagi tujuan membeli tiga lot kedai pejabat di Tigerlane Square, Ipoh, Perak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bangunan di Jalan Stesen Sentral 2 di Kuala Lumpur antara 6 Mei hingga 17 Jun 2019, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan, lapor Bernama.
Timbalan Pendakwa Raya Julianaazrina Jaafar mencadangkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin, selain memohon supaya tertuduh melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Beliau turut memohon supaya Kok Leong tidak dibenarkan meninggalkan negara tanpa kebenaran mahkamah serta tidak mengganggu saksi pendakwaan, sama ada secara langsung atau melalui pihak lain.
“Ini bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah selain mengambil kira pertuduhan ini (pecah amanah) melibatkan RM5.5 juta,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Zander Lim Wai Keong yang mewakili Kok Leong memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama kepada SPRM dan tidak berisiko melarikan diri.
Beliau berkata, pihak pembelaan tidak membantah permohonan supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
“Jaminan RM500,000 adalah terlalu tinggi dan di luar kemampuan tertuduh dan keluarga. Isterinya tidak bekerja selain akaun bank tertuduh dan isteri telah dibekukan sejak 2025 berikutan siasatan kes,” katanya.
Muhammad Ilmami kemudian membenarkan Kok Leong diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan. Mahkamah menetapkan 10 Disember depan untuk sebutan kes.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Suzana, Kok Leong turut didakwa melakukan transaksi hasil daripada aktiviti haram dengan mengarahkan Yan Shuen memindahkan wang RM403,000 daripada akaun bank miliknya ke akaun bank Permata Global Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Cawangan Taman Maluri di sini pada 15 Jun 2019, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram itu, atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Julianaazrina memohon supaya mahkamah menggunakan wang jaminan RM200,000 dan syarat tambahan yang ditetapkan bagi kes pecah amanah.
“Pihak pendakwaan memohon supaya kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen sebelum ini kerana melibatkan saksi sama dengan kes di mahkamah ini dan permohonan ini tidak dibantah pihak peguam,” katanya.
Suzana kemudian membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes pengubahan wang haram itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen yang mendengar kes pecah amanah, selain menetapkan jaminan RM200,000 dan syarat tambahan sama sehingga kes selesai.





