APLIKASI navigasi lebuh raya TuJu memohon maaf kepada pengguna berikutan gangguan fungsi navigasi sejak beberapa hari lalu, dengan kerja pemulihan dan penambahbaikan disasarkan selesai selewat-lewatnya pada 6 November ini.
Pihak Pengurusan TuJu dalam kenyataan memaklumkan pasukan teknikalnya sedang melaksanakan kerja pemulihan bagi memastikan fungsi navigasi kembali beroperasi dengan stabil dan lancar.
Menurut kenyataan itu, perkembangan terkini mengenai kerja pemulihan akan dimaklumkan menerusi saluran rasmi TuJu, manakala fungsi lain dalam aplikasi berkenaan boleh digunakan seperti biasa.
“Kami mengambil serius kesulitan yang dialami serta menghargai pandangan dan teguran pengguna terhadap perkhidmatan kami.
“Keutamaan kami adalah memastikan fungsi navigasi kembali beroperasi dengan stabil dan lancar serta memenuhi keperluan perjalanan pengguna,” menurut kenyataan itu hari ini.
TuJu turut merakamkan penghargaan atas kesabaran dan sokongan pengguna, sambil menyifatkan setiap laporan serta maklum balas yang diterima membantu pihaknya mengenal pasti masalah dan melaksanakan penambahbaikan diperlukan.
“Kami akan terus berusaha memenuhi harapan pengguna agar TuJu menjadi antara aplikasi navigasi terbaik yang mengutamakan keselamatan data rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan orang ramai menggunakan TuJu, aplikasi yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya menggantikan Waze.
Cadangan itu dibuat susulan kebimbangan mengenai keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat berkaitan penggunaan aplikasi Waze yang, menurut kenyataan terdahulu kerajaan, tertakluk kepada undang-undang Israel.





