Kurangkan import, syarikat tempatan perlu jadi pembekal pelabur asing – Johari

SYARIKAT tempatan perlu meningkatkan penglibatan dalam rantaian bekalan pelabur asing bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import, sekali gus memperkukuh lebihan dagangan negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, syarikat tempatan berpeluang membekalkan komponen yang diperlukan pelabur untuk menghasilkan produk mereka, sekali gus mengurangkan keperluan mengimport bahan dari luar negara.

Beliau berkata, sekiranya lebih banyak syarikat tempatan berupaya menghasilkan komponen berkenaan, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan import, malah membantu mengembangkan ekonomi dan meningkatkan eksport negara.

“Jadi kalau kita katakan satu pelabur itu datang, dia hendak buat satu produk, tapi dia memerlukan material, 10 jenis material atau pun komponen.

“Tapi kalau syarikat kita, tiga atau empat syarikat boleh buat tiga hingga empat komponen tersebut, maka kita mengurangkan import,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di Dewan Perdana Menara MITI di ibu negara malam ini yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Johari berkata, strategi itu juga mampu meningkatkan lebihan dagangan negara sekiranya pertumbuhan eksport mengatasi pertumbuhan import, khususnya apabila lebih banyak komponen dapat dihasilkan dalam negara.

Menurutnya, pertumbuhan eksport sebanyak 34 peratus berbanding import 25 peratus ketika ini menunjukkan kepentingan memperkukuh keupayaan syarikat tempatan untuk membekalkan komponen yang diperlukan industri.

“Kalau kita eksport berkembang 34 peratus, tapi import mungkin 10 peratus dia berkembang, tapi yang lain itu buat dalam negara.

“Itu akan memberi banyak lebihan dalam kita punya aktiviti perdagangan,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut memainkan peranan penting bagi membantu syarikat tempatan menghasilkan komponen yang diperlukan pelabur.

Katanya, syarikat tempatan boleh menjalankan R&D untuk membangunkan komponen yang masih belum dapat dihasilkan dalam negara berdasarkan keperluan produk yang dibawa masuk oleh pelabur.

Beliau berkata, usaha itu membolehkan syarikat tempatan memahami keperluan industri dengan lebih mendalam, selain membangunkan keupayaan menghasilkan komponen berkenaan menerusi penyelidikan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here